arena

Faedzal terkejut PSM sisih Syahir, Zulkifli

Oleh Azlan Muhammad Zain

TIMBALAN ketua kontinjen (CDM) ke Sukan SEA 2019, Ahmad Faedzal Md Ramli mengakui terkejut dengan pengguguran dua tekong utama negara yang dilakukan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Khamis lalu.

Beliau bagaimanapun tidak menyokong atau membantah tindakan badan induk sepak takraw berkenaan dengan menjelaskan ia bakal diperhalusi Jawatankuasa Pemilihan atlet ke Sukan SEA 2019, hujung bulan nanti.

"Agak terkejut namun kita perlu selidik dan menghormati rasional di sebalik keputusan itu.

"Mungkin ada percaturan lain yang perlu dilihat dari aspek taktikal atau strategi yang disusun PSM... kita akan bincang pada peringkat pemilihan nanti.

"Sekarang masih dalam peringkat penilaian pemain dengan Jawatankuasa Pemilihan (kendalian Majlis Olimpik Malaysia) akan bersidang pada hujung bulan nanti," katanya selepas perasmian kursus sains sukan Institut Sukan Negara (ISN) bersama Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia.

Jawatankuasa Pemilihan yang turut dianggotai Ahmad Faedzal akan melakukan pemilihan fasa akhir atlet ke Sukan SEA bersama persatuan sukan kebangsaan pada akhir bulan nanti.

Panel lima anggota berkenaan akan menilai secara terperinci sasaran yang diletakkan selain memutuskan atlet atau sukan untuk berada dalam kategori A (ditanggung) atau B (bayar sendiri).

Mohd Syahir Rosdi dan Muhammad Zulkifli Abd Razak antara tonggak yang meraih emas Sukan SEA (2015 dan 2017) serta Sukan Asia 2018 dalam acara regu digugurkan PSM pada Khamis lalu.

Perkembangan berkenaan dijangka menjejaskan sasaran PSM yang mahu mempertahankan emas acara regu pada edisi ke-30 Sukan SEA Filipina nanti.

Syahir dilaporkan tidak berdisiplin dan memberontak dengan Ahmad Faedzal yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ISN menjelaskan beliau tidak menerima sebarang rungutan dari pegawainya berhubung atlet berkenaan.

"Setakat ini tiada aduan namun kita akan berbincang dengan PSM sekiranya terdapat elemen yang perlu dibantu seperti psikologi, kita akan laksanakan," tambahnya.

Disiarkan pada: July 1, 2019 @ 9:27pm
d