arena

Cabaran Venus berakhir di tangan budak sekolah

Oleh AFP

WIMBLEDON menyaksikan kemunculan ratu baru tenis selepas pemain berusia 15 tahun Cori Gauff mengejutkan juara lima kali Venus Williams pada hari pertama kejohanan di All England Club sambil menyaksikan kekalahan Naomi Osaka, Alexander Zverev dan Stefanos Tsitsipas.

Cori yang telah pun mencipta rekod sebagai pemain termuda layak ke kejohanan elit itu tampak gemuruh pada awal permainan apabila gagal memanfaatkan tiga mata akhir sebelum menang dalam aksi sengit 6-4, 6-4 di Gelanggang Satu, awal pagi tadi.

Dia hanya melakukan lapan kesilapan berbanding Venus yang berusia 39 tahun melakukan 25 kesilapan. Ia kekalahan kedua pemain veteran Amerika Syarikat itu di pusingan pertama Wimbledon sejak kali terakhir pada 1997.

Venus menang dua daripada lima gelaran Wimbledon miliknya ketika Cori dilahirkan pada 2004 tetapi pemain remaja itu tidak menghiraukan reputasi lawannya itu.

"Ini kali pertama saya mengalirkan air mata selepas menang perlawanan,” kata Cori yang menduduki ranking ke-313 yang mula berjinak dengan tenis selepas mendapat galakan daripada Venus dan Serena Williams.

"Ketika kami bersalaman, Venus mengucapkan tahniah dan berharap saya terus berjaya selepas ini. Saya pulal berterima kasih di atas apa yang dia lakukan untuk saya.”

Pada hari penuh kejutan, superstar Jepun, Naomi tewas 7-6 (7/4), 6-2 tewas kepada pemain ranking 39, Yulia Putintseva dari Kazakhstan yang menewaskan pemain nombor dua dunia itu di Birmingham dua minggu lalu.

Pilihan keenam dari Jerman, Zverev, 22, tewas 4-6, 6-3, 6-2, 7-5 kepada pemain kelayakan dari Czech, Jiri Vesely yang menduduki ranking ke-124 dunia.

Hanya selepas 15 minit kekalahan Zverev, Tsitsipas yang berusia 20 tahun dikejutkan dengan kekalahan 6-4, 3-6, 6-4, 6-7 (8/10), 6-3 kepada pemain nombor 89 dunia, Thomas Fabbiano dari Itali.

Disiarkan pada: July 2, 2019 @ 7:58am
d