arena

Chile tekad cipta sejarah

Oleh AFP

PEMAIN tengah Chile, Arturo Vidal berkata, juara bertahan Copa America itu kini fokus mencipta sejarah menjelang aksi separuh akhir menentang Peru pada Khamis ini.

Juara 2015 dan 2016 itu mahu menjadi pasukan pertama menjuarainya tiga kali berturut-turut, pencapaian yang kali terakhir dilakukan Argentina pada 1945-1947.

"Kami mahu meninggalkan legasi sebagai juara tiga kali, itu impian kami,” kata pemain tengah Barcelona itu yang menjadi antara tonggak kejayaan Chile pada dua edisi lalu.

"Itu sebabnya kami mahu mempamerkan aksi terbaik menentang Peru. Ia akan menjadi sejarah dengan mara ke final dan itu misi kami.”

Chile berdepan Peru pada separuh akhir 2015 di tempat sendiri dan menang 2-1 sebelum menewaskan Argentina menerusi penentuan penalti untuk kejuaraan pertama mereka.

"Kami perlu beraksi dengan permainan terbaik, menang dengan bergaya,” kata Vidal.

"Peru mempunyai kerjasama berpasukan yang mantap sama seperti Colombia yang kami tewaskan pada suku akhir. Sudah pasti perlawanan yang sukar dan fantastik.”

Vidal menganggap kapten Peru yang juga penyerang, Paolo Guerrero sebagai ancaman utama Chile.

"Dia pemain yang tahu bagaimana cara melepasi halangan empat pertahanan dan sudah pasti tugas berat mengekangnya,” kata Vidal.

Disiarkan pada: July 2, 2019 @ 10:38am
d