arena

Rayzam yakin pertahan pingat emas

Oleh Aida Adilah Mat

TIADA rasa fobia untuk berlari malah atlet 110 meter lari berpagar negara, Rayzam Shah Wan Sofian yakin untuk mempertahankan pingat emas dimenanginya di temasya Sukan SEA Filipina hujung tahun ini.

Pelari berasal dari Kota Kinabalu, Sabah itu kini berada di Jerman dalam rangka latihan bersama jurulatih Jan May dijangka akan menyertai tujuh atau lapan pertandingan sepanjang 80 hari di sana.

Jelas atlet itu, dia juga sudah menyertai pertandingan pertama selepas berehat lebih dua bulan kerana kecederaan patah tangan, berjaya melakukan catatan 14.01 saat.

"Selepas dua bulan tidak berlari catatan 14.01s itu cukup menggembirakan saya. Saya harap catatan itu dapat diperbaiki dan dapat berlari di bawah 14s di pertandingan seterusnya nanti.

"Biarpun tangan masih lagi terasa sakit namun tiada masalah buat saya meneruskan latihan di sini," katanya yang juga pemegang rekod kebangsaan 13.67s acara itu.

Mengharapkan menemui semula rentak konsisten dan berlari di bawah 13.7s, Rayzam berkata dia akan terus berusaha memastikan langkahnya emasnya di Sukan SEA berterusan.

Rayzam sebelum ini mengalami kecederaan patah tangan kanan pada kejohanan olahraga Grand Prix (GP) Terbuka Malaysia April lalu dan terpaksa berehat hampir dua bulan.

"Saya perlu berlatih lebih gigih kerana tumpuan saya adalah untuk mempertahankan pingat emas di temasya Sukan SEA Filipina nanti," katanya yang memenangi emas pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) lalu dan di Korat, Thailand pada 2007.

Ketika meraih emas di KL2017, Rayzam mencatatkan kepantasan 13.83 saat, menewaskan seteru utama, Jamras Rittidet (14.10s) dari Thailand dan Clinton Kingsley dari Filipina (14.15s).

Disiarkan pada: July 2, 2019 @ 1:53pm
d