arena

Biar PJS 'selesaikan' isu MPM

Oleh Ferzalfie Fauzi

BIARLAH Pesuruhjaya Sukan (PJS) membuat keputusan, jelas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berhubung pemilihan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) yang ditangguhkan Sabtu lalu.

Menurutnya, beliau berharap rundingan akan diadakan secepat mungkin terutama selepas pelantikan PJS baru, Dr Wirdati Mohd Radzi.

“Harap perkara ini dapat diselesaikan secepat mungkin kerana ramai yang sudah bertanya hal ini kerana kita perlu membuat persediaan untuk Sukan Paralimpik Tokyo 2020,” katanya di Program Sambutan Ulang Tahun Pertama pentadbiran kerajaan baharu Peringkat KBS semalam.

Ujarnya, pemilihan kepimpinan MPM di Mesyuarat Agung Tahunan haruslah mengikut undang-undang yang ditetapkan.

Mengenai pelantikan PJS baru, Syed Saddiq menegaskan pemilihan Dr Wirdati dibuat selepas melalui proses pemilihan dan sesi wawancara yang diketuai oleh Ketua Setiausaha (KSU) KBS, Dr Waitchalla Suppiah.

“Kita bersetuju melantik Dr Wirdati kerana bukan saja mempunyai latar belakang sukan yang kuat tapi turut mahir dalam undang-undang sukan.

“Pelantikan ini juga diharapkan dapat memberi nafas baru kepada PJS dan meneruskan legasi yang ditinggalkan Datuk Zaiton Othman,” kata Syed Saddiq.

Beliau sendiri sudah menandatangani pengesahan untuk memberikan lampu hijau kepada Dr Wirdati memulakan tugas dan sekarang ini hanya menanti pelepasan dari Universiti Malaya (UM).

Dr Wirdati sebelum ini pernah menjadi bendahari Persatuan Pengurusan Sukan Asia dan Presiden Persatuan Pengurusan Malaysia.

Beliau yang juga pensyarah sukan UM turut memegang jawatan Ahli Jawatankuasa Status Pemain Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Disiarkan pada: July 2, 2019 @ 6:47pm
d