arena

Kedah intai tangga kedua

Oleh Izzali Ismail

KEDAH yang melayakkan diri ke perlawanan akhir Piala FA musim ini berpeluang berada di tempat kedua Liga Super seandainya mempamerkan aksi konsisten dan meneruskan rentak kemenangan dalam baki empat perlawanan.

Bekas pemain Kedah, negara dan juga pengacara bolasepak, Akmal Rizal Ahmad Rakhli berkata perkara itu tidak mustahil memandangkan pencabar terdekat seperti pasukan Pahang dan Selangor juga berdepan risiko keciciran mata.

“Peluang untuk Kedah berada pada tangga kedua liga masih terbuka kerana Selangor malah Pahang pun tak konsisten, jadi saya rasa peluang untuk Kedah berada pada kedudukan kedua terbaik liga harus direbut sebaik mungkin,” kata Akmal.

“Kedah perlukan rentak yang konsisten untuk empat perlawanan terakhir liga dengan tidak hilang mata dan cuba menang pada setiap perlawanan.

“Pada masa yang sama, Kedah juga mengharapkan Pahang tercicir mata untuk memintas kedudukan kedua iaitu dibawah pendahulu liga Johor Darul Ta’zim (JDT).

“Namun Kedah perlulah menunjukkan corak permainan yang meyakinkan dalam usaha menarik lebih ramai penyokong hadir memberi sokongan ke stadium setiap kali mereka beraksi.”

Akmal Rizal yang hadir pada majlis sambutan Aidilfitri Persatuan Bekas Pemain Bolasepak Kedah (KEFA) baru-baru ini turut berharap jumlah kehadiran penonton yang menurun iaitu kurang dari 8,000 orang pada aksi Separuh Akhir Pertama Piala FA di Stadium Darul Aman baru-baru tidak akan berpanjangan.

“Pada masa yang sama Kedah perlu memperkemaskan corak permainan sedia ada kerana penyokong sekarang cukup bijak dan mereka bukan sekadar hadir sekadar nak tengok kemenangan tapi nak tengok corak permainan yang menarik dan memberi kepuasan seperti musim-musim yang lalu,” katanya.

Menyentuh mengenai persaingan aksi pada final Piala FA hujung bulan ini yang melibatkan Perak dan Kedah, Akmal berkata corak permainan pasukan yang beraksi pada pentas akhir mempunyai kelebihan tersendiri.

“Sekiranya mana-mana pasukan pun jika menang dan melangkah ke final mereka akan mempamerkan suasana permainan yang bersemangat dan pemain yang beraksi di final juga akan menjadikan perlawanan itu ibarat hidup mati dalam kerjaya mereka.” katanya

Disiarkan pada: July 2, 2019 @ 6:53pm
d