arena

Bayaran peringkat akhir

Oleh Syazwan Msar

LIGA Bolasepak Malaysia (MFL) sudah berada di peringkat akhir persetujuan bersama beberapa penaja, sekali gus memberi bayangan pasukan Liga Super dan Perdana bakal mendapat bayaran sebelum berakhirnya saingan liga.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam berkata, pihaknya hanya menunggu penaja dari dalam dan luar negara untuk menyalurkan bayaran hak penyiaran itu seperti yang dipersetujui sebelum ini.

Beliau berkata, pengumuman berkaitan perkara terbabit akan dilakukan dalam masa terdekat apabila pengstrukturan semula pengagihan hak penyiaran selesai.

Katanya, MFL sudah menemui jalan penyelesaian mengenai masalah yang dihadapi sejak 15 Mac lalu selepas Telekom Malaysia (TM) tidak lagi menjadi penaja rasmi.

“Kita perlu beri masa kepada pelabur terbabit untuk menyalurkan dana kepada MFL kerana ia membabitkan nilai jutaan ringgit.

“Secara dasarnya penyelesaian sudah ada, namun agak sukar bagi mereka untuk mengeluarkan cek bernilai jutaan ringgit memandangkan ia bukan satu daripada bajet yang dirancang penghujung tahun lalu.

“Kita memberikan ruang kepada pelabur dan apa yang boleh saya katakan agihan tahun ini tidak lebih daripada dahulu iaitu RM3 juta untuk Liga Super dan RM1 juta Liga Perdana, pada masa akan datang sudah tentu angka berkenaan boleh meningkat,” katanya ketika ditemui di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), kelmarin.

Sebelum ini, Arena Metro melaporkan keluhan pasukan Liga Malaysia berikutan masih lagi tidak memperoleh geran seperti yang dijanjikan MFL.

Mengulas lanjut, Kevin berkata, pengstrukturan semula pengagihan hak penyiaran bakal menyaksikan kemungkinan pasukan yang bertanding mendapat bayaran lebih tinggi berdasarkan jumlah pembayaran yang akan diperoleh nanti.

“Pasukan bertanding kemungkinan akan mendapat bayaran hak penyiaran lebih tinggi bergantung kepada jumlah pembayaran yang diperoleh daripada pelabur,” katanya.

Disiarkan pada: July 3, 2019 @ 5:31am
d