arena

Masa depan skuad Argentina cerah - Scaloni

Oleh AFP

JURULATIH Argentina, Lionel Scaloni menegaskan pasukannya yang berwajah baharu mempunyai masa depan cerah walaupun tewas 0-2 kepada Brazil sekali gus mengakhiri impian mereka ke final Copa America.

"Tanpa ragu-ragu, kumpulan pemain ini menghargai jersi di badan mereka,” katanya.

"Perlawanan ini menunjukkan masa depan pemain dan skuad berada dalam laluan yang betul. Beraksi dalam stadium ini dengan suasananya tetapi kami lebih dominan berbanding lawan. Tak kisahlah mereka ke final namun berdasarkan permainan kami terdapat petanda positif.”

Scaloni berkata, kekalahan itu ‘tidak adil’ dengan mendakwa tiada pasukan yang mencipta banyak peluang ketika menentang Brazil selain Argentina.

Bintang mereka, Lionel Messi kurang menyinar tetapi masih mampu mencemaskan lawan apabila percubaannya pada minit ke-57 terkena tiang.

"Tiada perdebatan mengenainya, Messi tetap tonggak kami,” kata Scaloni.

"Brazil cuba menghalang hantaran sampai kepadanya dan kami pula berusaha memastikan bola singgah di kakinya.

"Cukup menarik menyaksikan dia bermain tetapi tidak menjadi hari ini. Tak mengapa dia boleh mendapat perlawanan ulangan, begitu juga skuad ini.

Scaloni juga tidak berpuas hati dengan pengadil Ecuador, Roddy Zambrano yang melayangkan enam kad kuning kepada pemainnya dan hanya dua kepada pemain tuan rumah.

"Saya tak suka pengadil dan saya jarang sekali memberikan komen,” katanya. “Saya tak fikir dia layak mengadili perlawanan seperti ini.”

"Jika pemain tengah mendapat kad kuning, ia akan menjejaskan rentak. Perlawanan mula tidak seimbang akibat keputusan pengadil.”

Disiarkan pada: July 3, 2019 @ 12:39pm
d