arena

ISN janji tak abaikan atlet

Oleh Azlan Muhammad Zain

INSTITUT Sukan Negara (ISN) berjanji tidak akan mengabaikan keperluan atlet negara selepas kepakaran dan kemudahan yang dimiliki mereka kini dikongsi bersama orang awam.

ISN kini menubuhkan Pusat Perubatan Sukan Negara (PPSN) bagi membolehkan kepakaran mereka turut dibuka kepada orang awam yang mahu mendapatkan perkhidmatan serta rawatan.

“Kita tidak akan pinggirkan atlet negara yang berada dalam program seperti podium, pelapis dan paralimpik.

“Kita hanya menggunakan 40 peratus dari aspek tenaga kerja dalam merawat atlet dan masih mempunyai ruang sekitar 60 peratus untuk digunakan secara maksimum,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Ahmad Faedzal Md Ramli pada majlis pelancaran PPSN hari ini.

Tambahnya, ISN wajar memulakan langkah untuk menerokai aspek komersil bagi memastikan kekal bagi tempoh yang panjang dan berharap dalam tempoh 12 hingga 18 bulan pertama mampu menyumbang 20 peratus pendapatan keseluruhan.

PPSN yang beroperasi di Bukit Jalil sejak 1 Julai lalu menawarkan tujuh perkhidmatan utama seperti klinik pakar perubatan sukan, fisioterapi & rehabilitasi, urutan sukan & pemulihan dan bekalan ubatan & peralatan.

“Kepakaran kami selama 25 tahun mengendalikan atlet negara yang bertaraf dunia serta bersaing di pelbagai temasya sukan akan digunakan. Harga juga lebih murah 20 atau 30 peratus dari caj swasta,” katanya.

Disiarkan pada: July 3, 2019 @ 7:02pm
d