arena

MU sasar atasi Kedah

Oleh Nazri Abu Bakar

MELAKA United (MU) menyasarkan kemenangan ketika berdepan Kedah pada aksi Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2019 di Kompleks Sukan Panasonic, Shah Alam, Sabtu ini.

Jurulatih MU, Mohd I’sah Abd Rahim, berkata selepas menang 2-0 mengatasi KL City FC minggu lalu, momentum kemenangan terus ditagih skuad berkenaan untuk menewaskan lawan selepas ini.

Menurutnya, aksi pasukan terbabit bermula kurang agresif selepas tewas 1-3 kepada Selangor pada aksi pembukaan sebelum bangkit mengatasi KL City pada aksi kedua liga.

“Sehubungan itu, kami mengharapkan skuad muda kali ini mampu meneruskan kebangkitan dalam misi meraih kedudukan lima terbaik.

“Kita terus positif terhadap sasaran untuk skuad Hang Tuah kali ini berikutan pasukan dibarisi oleh ramai pemain muda. Malah penyertaan kali ini lebih kepada pendedahan muka baharu,” katanya.

Apapun, keyakinan pemain juga kian meningkat selepas perlawanan kedua terbabit, justeru beliau turut mengharapkan anak buahnya akan bertindak lebih garang selepas ini.

Untuk rekod, MU muncul juara Liga Futsal Kebangsaan 2017 dan 2018 namun skuad itu dilihat sukar pada saingan kali ini bagi mempertahankan kejuaraan yang pernah dimiliki.

Justeru, I’sah mahu semua pemain memberikan yang terbaik sepanjang saingan serta cabaran dan pada masa yang sama beliau melihat pasukan Pahang dan Selangor antara pasukan yang tampil garang menerusi kehadiran ramai pemain berpengalaman yang menjadi asas kekuatan buat skuad berkenaan.

Disiarkan pada: July 3, 2019 @ 7:27pm
d