arena

Manshahar layak ganti Zainal - Nazmizan

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

KEKOSONGAN jawatan ketua jurulatih olahraga kebangsaan perlu diisi segera susulan perletakan jawatan Zainal Abas berkuatkuasa 1 Julai lalu.

Ia bagi memastikan semua perancangan olahraga sebagai antara penyumbang utama pingat kepada kontinjen negara berjalan lancar, tambahan calon pengganti, Harun Rasheed, tidak boleh terbabit kerana masih digantung ekoran isu doping.

Timbalan Pengarah Pusat Sukan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Nazmizan Muhammad berkata, biarpun difahamkan ketika ini tugas itu diambil alih sementara Timbalan Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Paduka Mumtaz Jaafar yang juga, kekosongan itu perlu diisi segera.

Katanya, antara calon sesuai adalah ketua jurulatih pelapis negara Mohd Manshahar Abdul Jalil yang juga jurulatih lompat bergalah kebangsaan.

“Bagi saya, beliau calon berkaliber untuk jawatan itu kerana berpengalaman luas sebagai ketua jurulatih pelapis negara dan pembantu kepada Zainal.

“Beliau terbabit langsung sebagai melatih atlet lompat bergalah lelaki negara, Iskandar Alwi dan ratu lompat bergalah, Roslinda Samsu,” katanya dihubungi hari ini.

Zainal yang menyandang jawatan ketua jurulatih olahraga negara lebih tiga tahun lalu memaklumkan keputusan meletak jawatan bagi memberi tumpuan dan komitmen sepenuhnya kepada jawatan hakiki selaku Pengarah Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Sementara itu, Nazmizan berkata, antara kriteria utama ketua jurulatih olahraga negara adalah mempunyai perancangan jangka panjang dan pendek yang jelas, memantau semua prestasi jurulatih dan atlet, versatil dan mempunyai pengalaman luas bukan saja kejurulatihan malah mencakupi tadbir urus dan perhubungan dengan persatuan dalam dan luar negara.

“Kita tidak mahu lagi berlaku isu seperti tiada jurulatih dan atlet sukar nak berlatih serta menyertai kejohanan. Bila ada perancangan jelas, jurulatih mudah untuk rancang atlet berlatih dan sertai kejohanan dan mencapai prestasi ditetapkan.

“Ketua jurulatih tidak boleh terikat dengan tugas lain sebaliknya memantau prestasi semua jurulatih dan atlet,” katanya.

Sementara itu, Mohd Manshahar berkata beliau tiada masalah dan bersedia menggalas tugas itu jika dipilih oleh KOM.

“Bagi saya mudah saja, terserah kepada badan tertinggi. Jika lihat boleh bantu olahraga, saya sedia terima tanggungjawab, bukan masalah kerana saya berada dalam program.

“Sebelum ini saya juga pembantu kepada Zainal sendiri, namun saya tidak merasakan saya perlu dipilih. Terpulang kepada pihak atasan, jika merasakan ada keperluan dan perlu kepakaran, saya sedia terima,” katanya.

Katanya, beliau tidak memikirkan apa-apa mengenai jawatan itu dan fokus kepada tugas kejurulatihan kebangsaan.

Untuk rekod, selain Harun nama bekas pelari lompat pagar Amerika Syarikat, David Patrick pernah dicanang bekas Presiden KOM, Datuk Karim Ibrahim sebagai calon ketua jurulatih olahraga negara tahun lalu, namun tidak menjadi kenyataan.

Disiarkan pada: July 3, 2019 @ 7:29pm
d