arena

Megat terus didesak minta maaf

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

PERSATUAN Orang-Orang Cacat Anggota Malaysia (POCAM) memberi kata dua kepada Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin supaya memohon maaf dan menarik balik kenyataannya melabel Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) sebagai ‘tempat najis’.

Naib Presiden POCAM, Shahidon Hanafiah berkata, pihaknya tidak akan berdiam diri dan akan mengambil tindakan lebih drastik termasuk mengusulkan kepada MPM agar mengharamkan pencalonan Presiden Persatuan Kanu Malaysia (MASCA), jika beliau enggan berbuat demikian.

Katanya, kenyataan Megat D Shahriman selaku calon Presiden MPM itu bukan saja menyinggung perasaan MPM, malah menghina seluruh warga sukan orang kurang upaya (OKU) di Malaysia.

“Kami tuntut beliau menarik balik dan memohon maaf dalam masa terdekat ini melalui saluran media yang menyiarkan kenyataannya sebelum ini.

“Jika tidak kita akan mengambil tindakan kepada beliau dalam masa tertentu. Kita akan adakan sidang media dan mengumpulkan ahli persatuan OKU lain untuk mendesak MPM mengharamkan pencalonan beliau.

“Kita tidak mahu orang menghina kita, sedangkan kita bermati-matian membela nasib OKU dan pada masa sama berjuang untuk mengharumkan nama negara dalam sukan,” katanya.

Megat D Shahriman dilapor mengeluarkan kenyataan kesat berkenaan selepas berang dengan keputusan ahli gabungan MPM memutuskan pemilihan pucuk pimpinan pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM), Sabtu lalu ditangguhkan.

Sementara itu, Shahidon berkata, sebagai bekas atlet para, dia terbabit dan mengetahui selok-belok usaha dibuat kepimpinan terdahulu dalam MPM.

“MPM diwujudkan oleh POCAM dan saya pernah menjadi presiden dan kini naib presiden. Dia (Megat D Shahriman) orang baru dari persatuan kanu.

“Saya tidak tidak tahu apa niat sebenar dia nak bertanding. Tapi bila kenyataan sedemikian menyinggung MPM dan seluruh warga sukan OKU di Malaysia.

“Bila persatuan dah ada jenama, ramai yang berebut jawatan. Kita tidak mahu orang begini, mulut celupar dalam persatuan. Satu hari nanti dibimbangi bila jadi presiden terkeluar perkataan yang bukan-bukan. Orang akan lihat kepada persatuan itu sendiri,” katanya yang juga Presiden Persatuan Sukan Orang Kurang Upaya (PESRON).

Arena Metro sebelum ini melaporkan bekas Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Sukan, Cawangan Sukan Paralimpik, Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Muhammad Nor Arif Abdullah dan Presiden Persatuan Powerlifting Para Malaysia, Kamarulzaman Kadir menggesa tindakan yang sama dilakukan Megat D Shahriman kerana ia seolah-olah menghina mereka.

Disiarkan pada: July 3, 2019 @ 11:31pm
d