arena

Ghairah selesai masalah

SELEPAS diumumkan selaku Pesuruhjaya Sukan (PJS) bagi menggantikan Datuk Zaiton Othman, Dr Wirdati Mohd Radzi tampil dengan azam untuk memberi nafas baharu kepada persekutuan dan persatuan sukan di negara ini yang dianggapnya sebagai tunjang utama kepada pembangunan industri sukan negara.

Ikuti temubual wartawan Arena Metro, Ferzalfie Fauzi bersama Dr Wirdati di pejabatnya, semalam.

Soalan (S): Tahniah kerana dilantik Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk memegang jawatan sebagai PJS dan boleh ceritakan sedikit mengenai latar belakang Dr?

Jawapan (J): Saya adalah pensyarah kanan di Pusat Sukan dan Sains Eksesais Universiti Malaya (UM) dan sudah lebih 20 tahun berkhidmat di sini selepas menamatkan pengajian dalam Sarjana Pengurusan Sukan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 1998.

Sepanjang tempoh berkenaan, saya juga menjadi penyelidik dalam bidang industri sukan dan banyak melakukan kajian baik di dalam mahupun luar negara, contohnya ketika di Majlis Sukan Negara (MSN).

Selain itu saya pernah menjadi ahli pasukan penyelidik untuk Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), membuat kajian pembabitan pergerakan wanita dalam Olimpik dan ketika itu saya dipinjamkan ke Universiti Loughborough, United Kingdom. Saya juga adalah salah seorang pengasas kepada Persatuan Pengurusan Sukan Malaysia (MASMA) di mana persatuan ini bukan lebih kepada aktiviti tetapi ke arah akademik dan ahli gabungan kepada Persatuan Pengurusan Sukan Asia (AASM).

Dalam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) saya pernah memegang jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa Status Pemain selama dua sesi dan sekarang menjadi Pengerusi Badan Rayuan Pelesenan Kelab di bawah Jawatankuasa Rayuan.

S: Bagaimana boleh timbulnya minat sehingga Dr berhasrat untuk memohon jawatan PJS yang diiklankan oleh KBS?

J: Ia soalan yang menarik dan pertama sekali, kenapa saya memohon jawatan ini ialah ketelusan KBS sendiri membuka ruang kepada semua warga Malaysia (memohon jawatan ini), jadi saya ingin menguji sendiri sistem pengambilan mereka apatah lagi ia dilakukan secara dalam talian. Sebelum ini mereka (KBS) tidak pernah melakukan pengambilan seperti ini, jadi ia membuatkan saya tertanya-tanya dan ingin mengetahui proses pengambilan PJS yang baharu.

Saya langsung tidak jangka, tapi ia memang sangat menarik, kerana kementerian sudah menggunakan kemudahan terkini untuk memohon jawatan. Jika bukan disebabkan perkara ini sekali pun, saya merasakan kehadiran saya sebagai PJS adalah kerana saya boleh membawa sesuatu yang berbeza.

S: Adakah Dr sudah bersedia untuk berdepan dengan pelbagai kerenah persatuan sukan di Malaysia kerana ada yang masih lagi ditadbir mengikut takuk serta kaedah lama?

J: Pertama sekali saya ingin meneruskan legasi Datuk Zaiton Othman yang menunjukkan ketegasannya terhadap persatuan sukan yang bersifat ‘gangster’, kalau saya boleh gunakan ayat ini. ‘Gangster’ ini menunjukkan bahawa persatuan berkenaan melanggar perlembagaan mereka sendiri.

Perlembagaan itu sendiri adalah lebih besar dari PJS dalam konteks ia mengawal selia persatuan. PJS tidak boleh menekan persatuan, jadi maksudnya apa yang berlaku dari kemelut yang saya faham, keengganan mereka mematuhi peraturan yang mereka buat sendiri. Ini sepatutnya menjadi peringatan kepada semua persatuan apabila masalah dalaman, ia perlu diselesaikan di peringkat dalaman apabila mereka menggunakan orang luar sebagai penyelesai masalah, mereka perlu bersedia berdepan akibatnya. Persatuan yang meneruskan kemelut dalaman sebenarnya tidak fikir kesan kepada persediaan atlet dan mereka sebenarnya perlu ikhlas untuk menyelesaikan masalah.

S: Apakah pandangan Dr mengenai peranan PJS seperti menyelesaikan masalah perubahan jawatan?

J: Sukan sebenarnya membabitkan keghairahan, siapa yang terbabit dalam bidang ini perlulah mempunyai semangat tinggi. Bagaimanapun, ada yang menggunakannya dengan pendekatan berbeza dan bagi saya jika berjaya menyelesaikan masalah sesuatu persatuan ia akan memberi kepuasan.

Saya perlu berkata bersedia untuk menghadapi perkara ini, namun saya tidak akan berseorangan kerana bersama KBS dan pejabat PJS sendiri juga mempunyai pasukan yang baik.

S: Pandangan Dr secara keseluruhan dengan persatuan sukan yang kita ada, adakah mereka menunjukkan peningkatan dari segi urus tadbir?

J: Bagi mengukur tahap kecekapan sesebuah organisasi adalah melihat kepada pencapaian mereka. Paling menarik dan banyak diberi perhatian pihak media ialah mengenai pencapaian atlet paralimpik.

Amalan yang baik dan membuahkan hasil dapat dilihat sendiri, jika sesebuah persatuan menunjukkan peningkatan pemodenan pengurusan seperti contoh hoki serta ragbi. Perubahan daripada pengurusan sukan bersifat amatur perlu ditukar kepada profesional, acara antarabangsa boleh menjadi tempat untuk melihat sendiri sesebuah persatuan itu profesional atau tidak.

Zaman menawar diri secara sukarela sudah berakhir di sesetengah sukan, jadi mereka perlu menerima perubahan ini. Kita mempunyai lapan universiti dalam program sukan, mereka yang menamatkan pengajian dalam bidang sains sukan boleh dimanfaatkan sebagai pengurus sukan atau pemimpin sukan, ini adalah masanya kita menggunakan servis mereka.

S: Sebaik memulakan tugas dan masuk ke pejabat baru nanti, apakah sasaran dan harapan Dr?

J: Saya rasa perlu faham dulu konteks, saya adalah sebagai individu yang menawarkan servis kepada persatuan sukan untuk mereka terus menggerakkan industri sukan negara. Saya perlu mempertingkatkan prestasi agar mereka (persatuan sukan) juga mampu melaksanakan tugas mereka dengan baik.

Saya perlu duduk berbincang dengan pasukan saya untuk melihat perkara apa perlu dipertingkatkan agar mampu memberi servis kepada persatuan sukan. Mereka pula akan memberi nafas baharu kepada persatuan negeri dan dalam masa sama saya mahu sukan ini dibangunkan dalam pelbagai aspek, bukan hanya kepada bahagian elit dan kompetitif saja. Paling besar ialah pembabitan rakyat sendiri dalam sukan, apabila rakyat sudah menjadikan sukan sebagai bantuan kepada tahap kesihatan, ia akan memberikan persatuan sukan peluang untuk menjana pendapatan mereka.

Disiarkan pada: July 4, 2019 @ 6:00am
d