arena

Tok Gajah sedia sekat Kuala Lumpur

Oleh Asrol Awang

SELEPAS terlepas Piala Liga Super dan Piala FA, skuad Pahang akan memastikan baki lima perlawanan liga berakhir dengan kemenangan.

Justeru, skuad kendalian Dollah Salleh perlu mencatat mata maksimum dalam usaha mengekalkan kedudukan kedua Liga Super musim ini.

Bagi mencapai misi itu, skuad Tok Gajah akan memastikan kemenangan apabila melayan kunjungan Kuala Lumpur di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Sabtu ini.

Pengurus pasukan, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, skuad itu perlu menjadikan The Hawks sebagai misi pertama untuk merealisasikannya.

"Namun, pemain tidak boleh menganggap ia perlawanan yang mudah walaupun Kuala Lumpur berada di tempat ke-10 liga ketika ini.

"Ini kerana lawan sudah pasti akan memberi tentangan sengit kerana mereka mahu mengelak berada dalam kedudukan dua tercorot liga untuk mengelak tersingkir ke Liga Perdana musim depan.

"Oleh itu, pemain perlu bijak memanfaatkan segala peluang yang ada kerana beberapa pasukan cuba untuk memintas Pahang," katanya.

Selepas bertemu Kuala Lumpur, Pahang akan menentang PKNS FC pada 9 Julai ini diikuti Terengganu (14 Julai), FELDA United FC (17 Julai) dan Melaka United (21 Julai).

Selepas 17 perlawanan, skuad kendalian Dollah Salleh menduduki tangga kedua dengan mengutip 30 mata.

Namun, kedudukan itu dilihat semakin terancam kerana Kedah, Selangor, Perak dan Melaka United yang hanya dibezakan antara satu dan empat mata yang mampu memintas Pahang.

Disiarkan pada: July 4, 2019 @ 2:42pm
d