arena

Empat atlet UniSZA ke kejohanan universiti dunia

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

UNIVERSITI Sultan Zainal Abidin (UniSZA) terus mencipta sejarah apabila empat atlet memanah dari universiti itu terpilih mewakili negara ke Kejohanan Sukan Universiti Dunia, 30th Summer Universiade 2019 di Napoli, Itali pada 2 hingga 14 Julai ini.

Atlet memanah UniSZA terpilih ialah Nur Aina Yasmine Halim daripada Fakulti Sains Sosial Gunaan dan Iman Aisyah Norazam daripada Fakulti Sains Kesihatan yang berada di bawah program senior Majlis Sukan Negara (MSN).

Dua lagi atlet UniSZA akan bersama pasukan itu ialah Amirul Amin Abd Rahim (Fakulti Reka Bentuk Inovatif dan Teknologi) dan Shaerra Ezzaty Saffuan (Fakulti Informatik dan Komputeran) dengan Pengarah Pusat Sukan dan Rekreasi UniSZA, Riduan Mohamed Arof diberi tanggungjawab menguruskan pasukan itu.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), Prof Madya Dr Mohd Afandi Salleh berkata, kejohanan dwi tahunan itu adalah acara berprestij dan ia peluang yang dinantikan semua atlet UniSZA untuk mewakili negara dan menunjukkan kecemerlangan di peringkat tertinggi antarabangsa.

"Harapan kami agar pembabitan mereka ini akan mengharumkan nama negara dan secara tidak langsung dapat menjadi sumber inspirasi kepada atlet-atlet lain di UniSZA.

"Kami harap mereka berusaha lebih gigih dan mempamerkan prestasi yang cemerlang bagi membuka peluang untuk mereka terpilih mewakili negara pada masa akan datang," katanya.

Atlet memanah UniSZA akan berlepas ke Napoli, Itali esok bersama dua atlet Universiti Putra Malaysia (UPM), seorang atlet dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan seorang atlet dari Politeknik Sultan Ahmad Shah (POLISAS) Kuantan.

Sebelum itu, pasukan memanah berkenaan yang dikendalikan jurulatih, Adnan Ahmad dan Mukhriz Mohamed giat menjalani latihan sebagai persiapan akhir di MSN Bukit Jalil sebelum berlepas ke Napoli, Itali.

Disiarkan pada: July 4, 2019 @ 5:02pm
d