arena

Aznil buru tiket Olimpik

Oleh Aida Adilah Mat

PEMENANG pingat emas temasya Komanwel Muhamad Aznil Bidin kini cuba untuk memburu tempat ke temasya Olimpik Tokyo apabila bakal menyertai Kejohanan Angkat Berat Komanwel di Samoa 9 Julai ini.

Akan berlepas Sabtu ini, Aznil berkata kejohanan di Samoa adalah kejohanan pertama menawarkan mata kelayakan justeru dia bertekad untuk melakukan yang terbaik seterusnya memperbaiki angkatan ketika menyertai Kejohanan Asia di Ningbo, China April lalu.

Ketika di China Aznil hanya melakukan angkatan 153 kilogram (kg) dalam acara clean & jerk manakala gagal dalam angkatan snatch.

Justeru dia yang akan bersaing dalam kategori 62kg berharap dapat memperbaiki pencapaian itu di Samoa sebagai bekalan sebelum menyertai Kejohanan Dunia di Thailand September ini.

“Kejohanan di Samoa adalah kejohanan kedua saya untuk tahun ini. Saya harap dapat memperbaiki angkatan 153kg dan jika boleh saya mahu memburu rekod kebangsaan.

“Selain kejohanan ini, temasya Sukan SEA juga menjadi keutamaan saya kali ini dan berharap dapat menyumbangkan pingat di Filipina nanti, ” katanya.

Pada temasya Komanwel Gold Coast yang lalu Aznil melakukan angkatan 126kg dalam acara snatch dan kemudian menjulang 162kg dalam clean & jerk untuk jumlah keseluruhan 288kg.

Dia menyumbangkan emas kedua negara dalam acara angkat berat selepas Azroy Hazal Wafie Izhar Ahmad.

Disiarkan pada: July 4, 2019 @ 6:37pm
d