arena

Peluang Safawi, Akhyar kukuh reputasi

Oleh Mohd Rafi Mamat

KHABAR angin mengenai dua penyerang muda kebangsaan, Safawi Rasid dan Akhyar Rashid yang dikatakan bakal beraksi dalam Liga Jepun (Liga J) diharapkan menjadi kenyataan bagi membolehkan mereka mendapat pendedahan di peringkat antarabangsa.

Bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail berpendapat, sudah tiba masanya pemain kebangsaan didedahkan dengan corak pemain bertaraf antarabangsa bagi memantapkan lagi skuad Harimau Malaya.

Katanya, pemain yang ingin berjaya di peringkat antarabangsa memerlukan pendedahan dan pengalaman luas beraksi dengan pasukan terbaik di peringkat lebih tinggi.

“Saya berharap impian peminat bola sepak negara menyaksikan kelibat pemain Johor Darul Ta[zim (JDT) beraksi dalam Liga J menjadi kenyataan demi kebaikan pasukan kebangsaan.

“Bukan sahaja Liga J, pemain kebangsaan yang lain boleh mengintai peluang beraksi dalam Liga Korea (Liga K) dan beberapa liga luar yang terbukti berkualiti.

“Tidak mustahil bermula dari Liga J mereka dapat melangkah lebih jauh ke Liga Eropah yang menjadi gelanggang menghimpunkan pemain terbaik dunia,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Jamal Nasir berkata, tidak mustahil penyertaan dua pemain itu ke Liga J menjadi sejarah tersendiri dan semua pihak perlu memberikan sokongan penuh bagi memastikan peluang Safawi dan Akhyar melangkah jauh di pentas antarabangsa.

Katanya, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin juga diminta mencari lebih banyak peluang kepada barisan pemain muda menyertai liga luar negara.

“Jika lebih ramai (pemain muda) berpeluang beraksi di luar negara, lebih baik untuk kepada pembangunan dan memantapkan pasukan kebangsaan, seterusnya menimbulkan rasa gerun kepada pasukan lawan,” katanya.

Semalam, akhbar ini menyiarkan berita berkaitan dua penyerang utama JDT, Safawi dan Akhyar dikatakan berpeluang berguru di Liga J selepas memenuhi kriteria beraksi di negara Matahari Terbit itu.

Disiarkan pada: July 4, 2019 @ 6:58pm
d