arena

Robben gantung but bola

Oleh AFP

PEMAIN sayap Belanda, Arjen Robben mengumumkan persaraannya awal pagi tadi pada usia 35 tahun selepas 10 tahun beraksi dengan kelab gergasi Jerman, Bayern Munich.

“Tidak diragui ia keputusan paling sukar terpaksa saya lakukan dalam karier, hati saya kata ya, badan saya kata tidak,” kata Robben kepada akhbar Telegraaf. Kontraknya bersama Bayern berakhir 30 Jun lalu.

Robben beraksi 96 perlawanan antarabangsa bersama Belanda, menjaringkan 37 gol dan menyinar dalam pasukan yang layak ke final Piala Dunia 2010 serta berakhir di tangga ketiga empat tahun kemudian.

Dia memenangi dua kejuaraan Liga Perdana Inggeris di bawah pengurus Jose Mourinho di Chelsea pada 2005 dan 2006 sebelum meraih pingat juara La Liga bersama Real Madrid.

Namun Robben, produk akademi Groningen, akan lebih diingati kerana masanya di Bayern. Dia membantu kelab Bavaria itu menang lapan kejuaraan Bundesliga, lima Piala Jerman dan pemenang Liga Juara-Juara 2013, menjaringkan 144 gol dalam 309 penampilan buat kelab itu.

Ada spekulasi Robben akan terus bermain dengan kemungkinan kembali ke England namun dia sebaliknya memutuskan untuk menggantung but bolanya selepas karier yang sering dibelenggu kecederaan.

“Ketika ini saya cergas serta sihat dan sebagai peminat sukan lain, saya mahu mengekalkan cara sama pada masa depan,” kata Robben.

Robben sudah bersara daripada bola sepak antarabangsa selepas Belanda gagal layak ke Piala Dunia 2018.

Disiarkan pada: July 5, 2019 @ 7:22am
d