arena

Omeruo bernilai buat Nigeria

Oleh AFP

DIA menyertai Chelsea sebelum Eden Hazard, Cesar Azpilicueta dan Gary Cahill tiba, namun tujuh tahun selepas kehadirannya pemain Nigeria, Kenneth Omeruo masih belum dapat tampil dalam pasukan utama kelab gergasi Liga Perdana Inggeris itu.

Tidak mungkin pertahanan tengah berusia 25 tahun itu akan beraksi di Stamford Bridge sekalipun Omeruo mengukuhkan reputasinya sebagai antara pertahanan terbaik pada Piala Negara Afrika di Mesir.

Dia seorang daripada tiga pemain – di samping John Obi Mikel dan Ahmed Musa – daripada skuad Super Eagles yang memenangi kejuaraan pada 2013, apabila Omeruo yang masih remaja memulakan lima daripada enam perlawanan termasuk kemenangan 1-0 ke atas Burkina Faso pada aksi final.

Selepas gagal layak ke dua edisi berikutnya, Nigeria kembali namun terjejas dengan pertelagahan mengenai bonus yang tidak dibayar menyebabkan mereka mogok latihan seketika selepas mengalahkan Burundi 1-0 pada aksi pertama.

“Kami sedar apa saja yang berlaku di belakang tabir, tugas kami adalah bermain dan rakyat Nigeria mengharapkan kami menang setiap perlawanan jadi kami tahu kami perlu melupakan semua perkara lain dan... muncul pasukan pertama layak dari peringkat kumpulan,” kata Omeruo selepas tandukannya ketika menang 1-0 ke atas Guinea memastikan kemaraan ke pusingan 16 terakhir.

“Penting untuk kekal fokus, kami mempunyai skuad menakjubkan. Saya sudah agak lama tidak bermain dan mereka melakukan tugas yang bagus. Tidak kira siapa yang bermain kami mempunyai pertahanan yang mantap, ia terbukti (menentang Guinea) dan saya hanya mahu memberikan yang terbaik.”

Kekalahan mengejut 0-2 di tangan Madagascar menyebabkan Nigeria berdepan perlawanan besar dengan juara bertahan Cameroon sekali gus menyerlahkan kepentingan Omeruo dalam pasukan kendalian Gernot Rohr.

Dia direhatkan pengendali dari Jerman itu bagi aksi terakhir kumpulan yang mana Nigeria memberikan Madagascar gol awal dan tidak bangkit. Kekalahan itu menyebabkan Super Eagles berpotensi bertemu tuan rumah Mesir, sekiranya mereka mengatasi juara lima kali Cameroon.

Impak Omeruo amat mengagumkan memandangkan dia sering dipinjamkan oleh Chelsea ke kelab luar, dengan terbaru menyaksikannya bermain di Leganes di Sepanyol yang mana dia pemain utama di bawah kendalian bekas bos Southampton, Mauricio Pellegrino.

“Peluang beraksi menentang pemain terbaik di dunia amat bererti dalam karier saya,” kata Omeruo mengenai masanya di La Liga Sepanyol.

Disiarkan pada: July 5, 2019 @ 12:13pm
d