arena

Nadal 'ajar' Kyrgios di Wimbledon

Oleh AFP

RAFAEL Nadal bukan saja mungkin memenangi kejuaraan perseorangan Wimbledon kali ketiga namun dia juga gembira menyingkirkan pemain paling dibencinya Nick Kyrgios pada perlawanan pusingan kedua penuh tegang, awal pagi tadi.

Pemain Sepanyol berusia 33 tahun itu menang dalam empat set 6-3, 3-6, 7-6 (7/5), 7-6 (7/3) yang menyaksikan pemain panas baran dari Australia, Kyrgios menerima amaran kerana tindakan tanpa semangat kesukanan selepas bertelagah dengan pengadil manakala dua kali melakukan servis rendah.

Kegembiraan Nadal terserlah apabila dia menamatkan perlawanan menentang pemain yang didakwanya tidak menghormati sukan itu dengan menggenggam buku limanya serta melonjak tinggi di depan kemnya di Gelanggang Tengah.

“Saya sedar mengenai setiap perkara,” kata Nadal, yang memenangi perlawanan ke-50 di Wimbledon.

“Saya hanya berada di sebelahnya jadi saya tidak mahu komen mengenai perkara ini tapi dia berpotensi menjadi pemenang Grand Slam.”

Dalam kategori wanita, ada nama baharu mengintai trofi itu ketika juara bertahan Angelique Kerber tersingkir dalam tiga set di tangan Lauren Davis 6-2, 2-6, 1-6 pada pusingan kedua.

Juara tujuh kali Serena Williams pula berdebar apabila kalah set pertama menentang pemain Slovenia berusia 18 tahun dari pusingan kelayakan Kaja Juvan sebelum menang 2-6, 6-2, 6-4.

“Ia mengendurkan tekanan saya,” kata Serena yang berusia 37 tahun.

“Kadangkala saya beraksi dengan bagus apabila saya ketinggalan. Saya seorang pejuang, saya tidak pernah berputus asa.”

Disiarkan pada: July 5, 2019 @ 12:44pm
d