arena

'Tok Gajah mesti pertahan tempat kedua liga'

Oleh Asrol Awang

SKUAD Pahang yang berada di tangga kedua Liga Super akan mempertahankan kedudukan itu daripada dipintas lawan.

Skuad kendalian Dollah Salleh itu tidak akan membenarkan Kuala Lumpur membawa pulang mata apabila dua pasukan itu bertemu di Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam esok.

Pemain tengah Tok Gajah, Mohd Faisal Halim berkata, skuad itu tidak boleh tercicir mata jika mahu mempertahankan kedudukan kedua.

"Ini kerana lawan seperti Kedah, Selangor, Perak dan Melaka United berusaha untuk memintas dan kami tidak boleh membiarkan mereka berbuat demikian.

"Kekecewaan mempertahankan Piala FA diharap ditebus iaitu memastikan Pahang menamatkan saingan Liga Super di tangga kedua.

"Kami perlu pamer prestasi cemerlang kerana kedudukan dalam liga akan menjadi penentu kedudukan dalam saingan Piala Malaysia nanti," katanya.

Mohd Faisal atau mesra dipanggil Mickey berkata, skuad itu akan memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri dengan mengutip tiga mata.

Katanya, skuad itu juga menjangkakan The Hawks akan mempamerkan corak permainan agresif kerana mahukan kemenangan.

"Sudah pasti tentangan sengit akan dihadapi kerana Kuala Lumpur yang berada di tempat ke-10 liga ketika ini mahu menganjak kedudukan untuk mengelak tersingkir ke Liga Perdana musim depan.

"Sebagai pasukan mahu mengekalkan kedudukan kedua, kami akan memastikan Kuala Lumpur pulang tanpa mata di Kuantan," katanya.

Disiarkan pada: July 5, 2019 @ 2:47pm
d