arena

Rashid pula tarik diri

Oleh Attirmidzie Rahman

KURANG 24 jam sebelum mesyuarat agung luar biasa (EGM) esok, yang bakal menentukan jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman mengumumkan secara rasmi menarik diri pada pemilihan itu.

Kini hanya tinggal dua calon yang mengesahkan bertanding iaitu Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Kelantan Wan Abdul Rahim Wan Abdullah dan ahli perniagaan Datuk Seri Amril Aiman Abdul Aziz.

Naib Ketua Bahagian BERSATU Kota Bharu Annuar Rajib berkata, Abdul Rashid secara rasminya menarik diri bertanding jawatan presiden KAFA.

"Saya hairan bagaimana nama Abdul Rashid boleh termasuk dalam senarai calon sedangkan beliau (Rashid) tidak tahu menahu kerana baharu sahaja pulang dari luar negara atas urusan rasmi.

"Tan Sri mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua calon yang bertanding dan semoga calon yang menang bertanding boleh mengembalikan semula reputasi badan induk bola sepak negeri ini, katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sebelum ini, bekas Presiden KAFA Tan Sri Annuar Musa turut menarik diri daripada bertanding jawatan presiden persatuan terbabit pada mesyuarat EGM yang bakal diadakan esok.

Disiarkan pada: July 5, 2019 @ 6:58pm
d