arena

Letshaana ketuai kemaraan

Oleh HM Digital

PEMAIN perseorangan wanita Selangor, K Letshaana semakin optimis memburu kemenangan sekali gus mencabar kejuaraan bagi acara bawah 16 tahun di Kejohanan Badminton 100PLUS Sirkit Remaja Kebangsaan Grand Prix Final yang berlangsung di Seremban.

Letshaana yang juga pilihan tiga/empat hanya memerlukan 15 minit untuk mengesahkan kemenangan straight set 21-2, 21-6 ke atas pemain Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Goo Xin Yi untuk ke suku akhir.

“Saya sudah menemui rentak permainan selepas gagal mendapatkannya sebelum ini.

“Keyakinan saya semakin tinggi. Saya hanya perlu fokus untuk mendapatkan rentak dan masih belum berada pada prestasi terbaik tetapi saya yakin mampu mengharunginya,” kata Letshaana yang tewas kepada Arena Satu Samin ketika Pusingan kedua di Johor Bahru Mei lalu.

Seorang lagi wakil BAM, Lee Xin Jie yang turut beraksi di Kejuaraan Dunia Jemputan Shonan Bawah 15 tahun, Jepun mengesahkan slot ke suku akhir selepas dipaksa bekerja keras untuk menang ke atas wakil Kedah, K Yeshveeni 21-15, 13-21, 21-15 dalam tempoh 51 minit.

Dalam pada itu, juara bertahan, Arena dari Sabah turut berada di kelas tersendiri apabila mengalahkan Tan Shen Thing (BAM) 21-12, 21-9 sekali gus bakal berdepan pilihan kedua dari BAM, Joanne Ng yang menang ke atas pemain Selangor, Sik Xiao Hui 21-13, 21-14.

Pilihan utama kejohanan perseorangan perempuan, Tan Zhang Yi (BAM) turut mara ke suku akhir selepas menang straight set 21-18, 21-12 ke atas Chew Jia Hui (Perak).

“Saya perlu bersabar untuk mengelakkan banyak kesilapan ketika bermain. Saya perlu bangkit dan memberi fokus yang lebih ketika bermain,” kata Zhang Yi yang akan berdepan wakil Selangor, Siti Nurshuhaini Azman yang menang 21-9, 18-21, 21-13 ke atas wakil Sabah, Goh Shuen Tong.

Turut mara ke suku akhir, Oh Jia Qi dari Johor yang menang ke atas Lim Qi Ling (Selangor) 21-10, 21-15 dan berdepan Khor Jin Weng (BAM).

Sementara itu, saingan perseorangan lelaki bawah 16 tahun menyaksikan pilihan pertama kejohanan, Fazriq Razif mengesahkan slot ke suku akhir selepas menang 21-17, 21-17 ke atas A Thaanesh Devar (Melaka).

Fazriq yang menang di Kejuaraan Dunia Jemputan Shonan Bawah 15 tahun akan berdepan Haris Sufian Rushdan (Selangor) yang menang ke atas Goo Vie Keat (Kelantan) 21-15, 21-11.

“Saya menang straight set dalam dua perlawanan terdahulu tetapi ia bukan ukuran kerana akan menjadi semakin sengit selepas ini.

“Saya masih merasa keletihan selepas pulang dari Jepun tetapi ia tidak menjejaskan misi untuk terus memburu kejuaraan,” kata Fazriq.

Disiarkan pada: July 5, 2019 @ 8:42pm
d