arena

Juve ikat Demiral dari Sassuolo

Oleh AFP

JUARA Itali, Juventus mengumumkan pembelian pertahanan kebangsaan Turki, Merih Demiral dari kelab Serie A, Sassuolo dengan harga 18 juta euro (RM83 juta) semalam.

Pemain berusia 21 tahun itu bertindak cemerlang selepas menyertai Sassuolo dari Alanyaspor Januari lalu secara pinjaman dengan pilihan untuk membelinya.

Juventus menyatakan dia sudah menandatangani kontrak lima tahun yang akan berakhir pada 30 Jun 2024.

Demiral menyumbat dua gol dalam 14 penampilan Serie A pada babak kedua musim lalu.

Juventus, yang diperkuatkan dengan kehadiran Cristiano Ronaldo pada 2018, merangkul kejuaraan liga utama Itali buat kali kelapan berturut-turut musim lalu.

Demiral akan memperkasakan benteng pertahanan yang turut mempunyai pemain berusia Leonardo Bonucci dan Giorgio Chiellini. Mereka juga dikaitkan dengan usaha membeli bintang muda Belanda, Matthijs de Ligt dari Ajax.

Disiarkan pada: July 6, 2019 @ 10:52am
d