arena

Coco makin hampiri 'keajaiban'

Oleh Reuters

CORI Gauff yang berusia 15 tahun bangkit daripada kalah set pertama dan ketinggalan 2-5 serta menyelamatkan dua mata penamat sebelum menundukkan pemain Slovenia, Polona Hercog 3-6, 7-6 (9/7), 7-5 awal pagi tadi sekali gus layak ke pusingan keempat Wimbledon.

Pemain remaja Amerika Syarikat itu, yang menghuni ranking ke-313 dunia, meraih perlawanan di gelanggang utama selepas mencuri tumpuan penonton dengan eksploitasi pemusnah, termasuk menyingkirkan bekas juara Venus Williams pada pusingan pertama.

Cori, yang mengalahkan bekas semifinalis Magdalena Rybarikova pada pusingan kedua, menerima tepukan gemuruh penonton namun mendapati sukar pada mulanya menangani permainan hebat Polona yang berusia 28 tahun.

Dia bagaimanapun mempamerkan ketenangan mengagumkan untuk bangkit menentang pemain Slovenia di ranking ke-60, yang gagal menyudahkan dua mata penamat pada set kedua.

“Saya sering tahu saya boleh bangkit tidak kira apa keputusannya, saya hanya perlu menumpukan pukulan saya,” kata Cori, yang senang disapa Coco, selepas meninggalkan gelanggang dengan tepukan gemuruh.

“Penonton amat mengagumkan. Malah ketika saya ketinggalan dan berdepan mata penamat, mereka masih menyorak saya. Saya lega ia berakhir, dia bermain dengan menakjubkan,” jelas Cori.

Cori pemain termuda layak ke Wimbledon dalam era Terbuka dan paling muda mara ke pusingan keempat sejak pemain AS, Jennifer Capriati, yang turut berusia 15 tahun pada 1991.

Dia berdepan pilihan ketujuh Simona Halep, bekas pemain nombor satu dunia, pada pusingan 16 terakhir.

Disiarkan pada: July 6, 2019 @ 12:22pm
d