arena

Dhaarma pilihan Malaysian Tigress

Oleh Saiful Affendy Sapran

KETUA jurulatih skuad hoki wanita negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah kini boleh mengukir senyuman selepas Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) memberi jaminan kontraknya akan disambung.

Perkara itu disahkan sendiri oleh Timbalan Presiden Kanan MHC, Datuk Dr S Shamala selepas mengambil kira rekod cemerlang Dhaarma sepanjang membimbing skuad negara sejak 2016.

Justeru itu jelas Shamala, tidak sepatutnya timbul sebarang keraguan mengenai kontrak Dhaarma yang berakhir hujung tahun ini.

"Saya juga tertanya-tanya sebelum ini apabila timbul isu mengenai kontrak Dhaarma.

"Bagi saya beliau sudah melakukan tugas yang cukup cemerlang sepanjang membimbing skuad negara dan untuk itu tiada sebab untuk MHC tidak menyambung kontraknya," katanya.

Masa depan Dhaarma sebelum ini menjadi tanda tanya sekiranya gagal membimbing pasukan mara sehingga ke saingan play off kelayakan Sukan Olimpik.

Ini kerana Dhaarma serta anak buahnya dilihat tidak mempunyai sebarang misi utama lagi sehingga hujung tahun ini kerana Sukan SEA di Filipina bermula November depan juga tidak mempertandingkan acara hoki padang.

Namun penamat ketiga pada Pusingan Akhir Siri FIH di Banbridge, Ireland Utara menghidupkan semula peluang Malaysian Tigress untuk layak ke aksi play off kelayakan Sukan Olimpik.

Jelas Shamala, walaupun kontrak Dhaarma bakal berakhir, namun khidmatnya masih diperlukan untuk kitaran baru program skuad wanita negara.

Disiarkan pada: July 6, 2019 @ 6:54pm
d