arena

Piala Laksamana raih RM2.045 juta

Oleh Nurul Amanina Suhaini

SEBANYAK RM2.045 juta dana berjaya dikumpul menerusi penganjuran Kejohanan Golf Amal Piala Laksamana 2019 yang diadakan di The Els Club Desaru Coast - Ocean Course, Desaru, Johor, hari ini.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan menerima sumbangan itu bagi disalurkan kepada Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor (TLJCF).

Pengerusi penganjur kejohanan, Tan Sri Esa Mohamad, berkata kejohanan yang memasuki edisi ketiga itu turut menyaksikan 100 peserta golf yang bersemangat dalam menyertai kejohanan, di samping menyumbang ke arah kebajikan.

Katanya, kejohanan anjuran Persatuan Pelancongan Golf Johor (JGTA) turut mendapat sokongan daripada 100 rakan kongsi dan penaja korporat dari 25 syarikat.

"Kami mengiktiraf dan menghargai semua sokongan dan derma yang disalurkan dari pelbagai syarikat serta individu yang bersama-sama mengumpulkan dana untuk TLJCF.

"Sangat gembira apabila dapat melihat sambutan yang menggalakkan terutama dari warga korporat, ketua-ketua industri, pemimpin perniagaan mahupun masyarakat yang memberi kerjasama dalam menyumbang dana," katanya dalam kenyataan selepas program berkenaan.

Pada program itu, Sultan Johor turut berkenan menyempurnakan majlis penyampaian hadiah kepada pemenang keseluruhan dari pasukan Tourism Johor, yang diwakili oleh Kapten Mohd Anizam Jamian, Mohd Radif Kosnin, Sazali Adan dan Johari Tarmidi.

Disiarkan pada: July 6, 2019 @ 11:26pm
d