arena

Masa depan Pogba selubungi United

Oleh Reuters

KETIKA Manchester United bersiap sedia untuk penerbangan ke Australia bagi jelajah pramusim hujung minggu ini, pemain tengah mereka yang bermasalah Paul Pogba berseronok jauh beribu-ribu kilometer di New York.

Pemain Perancis berusia 26 tahun itu mengepos video di laman sosial dia berjoging di Central Park, bersenam di gimnasium malah menyepak tudung botol sebagai sebahagian daripada kegilaan viral terbaharu di Internet.

Tidak satu pun perkara itu membimbangkan United ketika mereka memberi keizinan kepada pemain tengah itu untuk menyambung percutiannya selepas jadual padat sejak Piala Dunia tahun lalu.

Apa yang mungkin menyukarkan untuk ditangani kelab itu adalah komen ejen Pogba minggu lalu pemain itu mahu meninggalkan United.

“Setiap orang tahu keinginan Paul untuk berpindah. Kami dalam proses melakukannya,” kata Mino Raiola dalam temu ramah dengan akhbar The Times.

Komen itu mencetus spekulasi yang dijangka bersama Real Madrid, yang dianggap destinasi utama pilihannya. Real dilaporkan sedia membida dengan membabitkan pemain seperti Gareth Bale dan Isco.

Sama ada Pogba menyertai United dalam jelajah mereka atau tidak, percakapan mengenai perpindahan itu pasti mengiringi mereka di Australia, Singapura dan China.

Secara rasminya, pemain tengah itu akan menyertai skuad minggu ini, sebelum perlawanan mereka menentang Perth Glory pada 13 Julai, namun United perlu pantas menangani masalah itu.

Ada banyak persamaan antara situasinya dengan Philippe Coutinho pada 2017, yang berjaya memaksa perpindahan dari Liverpool ke Barcelona sekalipun dia masih mempunyai kontrak di Anfield.

Disiarkan pada: July 7, 2019 @ 1:10pm
d