arena

Federer catat rekod baharu Slam

Oleh AFP

JUARA perseorangan Wimbledon lapan kali Roger Federer mencatat satu lagi pencapaian awal pagi tadi ketika semua pencabarnya tidak mengalami masalah untuk layak ke pusingan 16 terakhir.

Federer melakar rekod kemenangan ke-350 dalam perlawanan Grand Slam ketika menang 7-5, 6-2, 7-6 (7/4) ke atas Lucas Pouille dari Perancis sekali gus mara ke pusingan keempat bagi kali ke-17.

“Ia angka yang menarik untuk dicapai. Saya seronok bertanding pada kejohanan Slam,” kata Federer, yang akan berdepan pemain Itali, Matteo Berrettini, mengenai rekod Grand Slam dilakukannya. “Terlalu bagus untuk menang sebanyak itu.”

Terdahulu, musuh utamanya dan juara Wimbledon dua kali Rafael Nadal lebih seronok berbanding aksi terdahulunya apabila dia layak ke pusingan 16 terakhir dengan kemenangan 6-2, 6-3, 6-2 ke atas pemain veteran Perancis, Jo-Wilfried Tsonga.

Laluan mudah Nadal ke pusingan keempat bagi kali kesembilan dituruti pemain nombor satu dunia kategori wanita, Ashleigh Barty, yang memecah kebuntuan apabila kali pertama tampil pada pusingan 16 terakhir.

Juara wanita tujuh kali Serena Williams turut bertanding pada minggu kedua bagi kali ke-16.

Nadal, yang memeluk erat Tsonga di akhir perlawanan berbanding aksi terdahulu yang mana dia bertelagah dengan pemain panas baran Australia, Nick Kyrgios, menyatakan dia gembira dengan cara kemenangannya itu.

“Saya terlalu gembira. Saya bermain perlawanan hebat dari mula hingga ke akhir,” kata Nadal.

Disiarkan pada: July 7, 2019 @ 1:58pm
d