arena

Kuala Lumpur belum menyerah kalah

Oleh Asrol Awang

SKUAD Kuala Lumpur belum mengaku kalah walaupun kecundang 0-2 kepada Pahang dan tetap yakin kekal dalam saingan Liga Super musim depan.

Kuala Lumpur atau dikenali The Hawks masih memiliki baki tiga perlawanan Liga Super dan mampu mengutip mata dalam perlawanan seterusnya.

Penolong jurulatih Kuala Lumpur, Rosle Md Derus berkata, walaupun bakal bertemu juara Liga Super musim ini, Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Perak, ia bukan menjadi penghalang kepada skuad kendaliannya mengutip mata.

"Kalau tengok di atas kertas, memang nampak macam tugas sukar menanti kami, tapi ia bukanlah alasan untuk menerima saja sebarang keputusan.

"Kami masih mempunyai semangat juang tinggi dan tugas utama skuad adalah menewaskan FELDA United, Rabu ini.

Selepas itu baru kita fikir apa yang kita boleh buat dengan JDT dan Perak," katanya.

Mengulas kekalahan kepada Tok Gajah di Stadium Darul Makmur, Kuantan, semalam beliau berkata, hilang fokus dan kepenatan menyebabkan The Hawks gagal menyekat tuan rumah menghasilkan gol terutama pada babak kedua. 

Katanya, jaringan penalti pada separuh masa kedua turut menjadi faktor yang meragut semangat anak buahnya dan mengubah rentak keseluruhan perlawanan.

"Kekecewaan juga menyebabkan Pahang menjaringkan gol kedua pada minit terakhir perlawanan," katanya.

Pada perlawanan itu, Pahang mendapat gol melalui sepakan penalti disempurnakan oleh Herald Goulon m-57 dan jaringan Mohd Azam Azih m-93.

Disiarkan pada: July 7, 2019 @ 5:41pm
d