arena

Heikal, Jing Xuen ungguli MJGC

Oleh Nazri Abu Bakar

PEMAIN golf meningkat naik, Nor Heikal Norhadi dan Ng Jing Xuen muncul juara kategori lelaki dan perempuan keseluruhan pada Kejohanan Golf Remaja Melaka (MJGC) kali pertama dianjurkan.

Kejohanan dua hari disertai seramai 62 peserta yang berakhir, hari ini di Tiara Melaka Golf & Country Club, Bukit Katil, Melaka.

Kejohanan anjuran Baz Global terbabit turut disertai peserta terbaik seluruh negara serta pemain kelahiran Korea yang menuntut di negara ini.

Pengerusi kejohanan, Khairol Tajaldin Mohamad, berkata saingan membabitkan kategori lelaki dan perempuan bawah 12, 15 dan 18 tahun itu berjaya menyerlahkan bakat masing- masing.

Katanya sokongan kerajaan negeri, kelab, penggiat sukan, individu, ibu bapa, dan pelbagai penaja berjaya memeriahkan dan merancakkan kejohanan.

"Paling menarik kehadiran pemain golf negara, Shahriffuddin Ariffin dan bekas bintang terkemuka dalam sukan terbabit Shaaban Hussin memberi impak terhadap penganjuran berkenaan.

"Malah mereka turut berkongsi idea permainan, pengalaman berkaitan keperluan untuk maju sebagai pemain terbaik pada masa hadapan,"katanya.

Nor Heikal adalah pemain dari Kelab Golf Tanjung Emas, Muar, Johor manakala Jing Xuen dari Kelab Darul Ehsan (KDE), Selangor.

Khairol berkata, penganjuran berkenaan membuka dimensi baharu untuk membolehkan mereka menganjurkan kejohanan lebih besar pada masa depan.

Malah, ia bakal menjadi medan pertarungan bagi pembentukan pelapis negara dan bintang terhebat dunia.

Disiarkan pada: July 7, 2019 @ 9:55pm
d