arena

Final misi tebus hampa Melaka

Oleh Nazri Abu Bakar

KEJAYAAN mara ke final dua musim berturut-turut menjadi azimat buat Melaka untuk memburu kejuaraan sulung Piala Tun Sharifah Rodziah 2019 di Stadium UiTM Shah Alam, minggu depan.

Lebih menarik Melaka bakal bertemu juara bertahan Kedah pada aksil final pada 14 Julai itu sekali gus mengulangi pertembungan pada edisi 2018.

Penolong pengurus Melaka, Abdullah Md Derus, berkata selepas n membenam PDRM 5-1 pada separuh akhir di Cyberjaya, semalam, misi untuk menjulang piala berprestij itu semakin hampir.

Menurutnya, pemain beraksi dengan positif dan agresif pada pertemuan terbabit berikutan bimbang The Cops bakal mencipta kejutan.

Katanya, ia berikutan lawan turut mencemaskan skuad kendalian jurulatih Jamil Hassan terbabit menerusi keputusan seri 2- 2 pada saingan awal liga.

"Namun strategi jurulatih yang dipraktikkan dengan baik oleh pemain berjaya memerangkap lawan sekali gus membolehkan Melaka layak ke final.

"Selain sasaran juara kali ini, saingan berdepan Lang Merah turut menjadi pentas menembus hampa atas kekalahan final musim lalu kepada lawan yang sama," katanya.

Sehubungan itu, tempoh seminggu menjelang final akan digunakan sebaik mungkin untuk jurulatih membentuk barisan mantap sebelum berdepan Kedah.

Abdullah berkata, peranan besar kapten Melaka dan skuad kebangsaan, Shereilynn Elly Pius bersama penjaring terbanyak, Dadree Rofinus yang meledak sembilan gol antara tunjang penting bagi memenuhi impian juara musim ini.

Disiarkan pada: July 7, 2019 @ 10:10pm
d