arena

Peluang ke Liga Super masih ada

Oleh Malik Muhamad

PENGENDALI Pulau Pinang, Manzoor Azwira Abd Wahid belum mahu mengangkat 'bendera putih' sebaliknya tetap optimis pasukannya masih berpeluang untuk beraksi dalam saingan Liga Super musim depan.

Manzoor yang mengambil alih tugas ketua jurulatih daripada Ahmad Yusoff, April lalu mengakui berdepan saingan sengit daripada tiga lagi pasukan iaitu UiTM, Negeri Sembilan dan PDRM untuk merebut satu lagi slot ke Liga Super.

Sabah yang mendahului Liga Perdana layak beraksi dalam liga utama itu musim depan selepas mengutip 37 mata daripada 17 perlawanan.

UiTM di tangga ketiga dengan 28 mata, Negeri Sembilan (25 mata), Pulau Pinang dan PDRM berkongsi 24 mata.

"Peluang untuk layak ke saingan Liga Super musim depan masih ada biarpun kini skuad kami berada di ranking keenam liga kerana perbezaan mata dengan tiga pasukan berkenaan tidak begitu jauh.

"Kita ada dua lagi perlawanan yang boleh dianggap mencabar iaitu menentang Sarawak dan kemudian PDRM yang mana kita perlu menang untuk mendapatkan enam mata bagi merebut satu lagi slot yang tinggal untuk ke Liga Super.

"Kemasukan dua pemain import iaitu Sergio Aguero dan Anselmo Arudda atau Casagrande serta bekas penjaga gol kebangsaan, Zamir Selamat memberi impak mencipta rekod tanpa kalah sepanjang pusingan kedua liga," katanya selepas seri 0-0 menentang Terengganu FC ll (TFC II) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, semalam.

"KPI (Petunjuk Prestasi Utama) kita adalah untuk layak beraksi ke saingan Piala Malaysia musim ini.

Namun dalam masa sama kita mahu mengintai peluang beraksi dalam Liga Super biarpun terpaksa menunggu hingga perlawanan terakhir liga," ujar Manzoor.

Disiarkan pada: July 7, 2019 @ 10:37pm
d