arena

TFC II yakin tangga ketiga

Oleh Malik Muhamad

JURULATIH Terengganu FC ll (TFC ll), Tengku Hazman Raja Hassan menyatakan impian pasukannya menamatkan cabaran Liga Perdana musim ini di tangga ketiga tampak cerah.

Skuad itu kini berada di kedudukan keempat liga.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, keyakinan itu berdasarkan prestasi semasa anak buahnya yang dilihat semakin menjadi biarpun rata-rata pemain masih 'mentah' daripada segi pengalaman.

Katanya, pemain muda tempatan diberi peluang beraksi dalam hampir setiap perlawanan pada pusingan kedua liga mampu mempamer aksi cemerlang sepertimana bertemu skuad Pulau Pinang biarpun tanpa pertahanan import, Serhii Andrieiev.

"Saya menyasarkan untuk menempatkan TFC ll sekurang-kurangnya berada dalam kelompok lima terbaik liga pada musim ini.

"Apabila melihat jurang satu mata dengan UiTM FC ketika ini berada di tempat ketiga ketika berbaki tiga perlawanan, saya percaya pasukan kami mampu naik ke tangga tiga liga sekaligus memperbaiki kedudukan tempat tercorot musim lalu," kata Tengku Hazman di Kuala Terengganu.

Pada pertemuan itu, TFC ll yang menurunkan gandingan import iaitu Akanni Sunday Wasiu dan Bruno Suzuki di jentera serangan gagal meledak sebarang gol sesudah terikat 0-0 dengan skuad Harimau Kumbang itu di depan 360 penyokong setia tuan rumah.

"Peluang penyerang membuktikan kemampuan tetap ada kerana kita masih ada baki tiga perlawanan lagi," ujar Tengku Hazman.

Disiarkan pada: July 7, 2019 @ 10:53pm
d