arena

Padah serang pengadil

Oleh Syazwan Msar

RISIKO digantung seumur hidup menanti tiga pemain dan seorang pegawai pasukan Persatuan Bola Sepak Johor Bahru (JBFA) selepas bertindak menyerang pengadil gara-gara tidak puas hati selepas lawan diberikan penalti, kelmarin.

Pada perlawanan Liga M3 yang berlangsung petang kelmarin, JBFA melayan kunjungan Kelantan United di Stadium Mini Kulai dan perlawanan itu berkesudahan seri 3-3.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam berkata, insiden pergaduhan membabitkan pemain dengan pengadil tidak boleh diterima sama sekali, tidak kira dalam mana-mana saingan sekalipun.

Stuart berkata, pihaknya sudah menerima aduan daripada empat pengadil yang terbabit dalam perlawanan berkenaan dan akan menyerahkan kepada Jawatankuasa Tatatertib FAM untuk tindakan lanjut.

“Tindakan seperti itu tidak sepatutnya berlaku walaupun di Liga M3 kerana ia boleh mencemarkan mutu bola sepak negara. Apa yang saya boleh katakan, tindakan itu bakal mengundang hukuman berat kepada pemain dan setakat ini laporan yang diterima membabitkan empat pemain dan seorang pegawai pengurusan pasukan.

“Kejadian itu sebenarnya tidak terhenti di atas padang saja kerana mengikut maklumat terdapat juga pergaduhan dalam terowong ke bilik persalinan,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Pergaduhan itu berlaku kerana pemain JBFA tidak berpuas hati apabila pengadil menghadiahkan sepakan penalti pada minit akhir kepada Kelantan United.

Insiden yang menyaksikan pemain JBFA bertindak mengejar pengadil hingga ke luar padang berkenaan memaksa campur tangan pasukan keselamatan dan ia turut tular di media sosial.

Sebelum itu, pengadil menghadiahkan sepakan penalti selepas bola didakwa terkena tangan pemain JBFA dan sepakan itu disempurnakan Gassama Alfusainey untuk mengikat kedudukan 3-3.

Jaringan pada masa kecederaan separuh masa kedua itu membolehkan Kelantan United bangkit selepas ketinggalan 3-1 meskipun mendahului pada babak pertama.

Kelantan United mendahului seawal minit ke-22 menerusi jaringan Khairul Ramadhan namun JBFA memperagakan aksi kemas pada babak kedua untuk mendahului 3-1 menerusi gol Jose Alex (m-49), Riduan Ma'on (m-53) dan Fathur Danish (m-68).

Bagaimanapun, pelawat mengurangkan defisit apabila Gassama meledak gol kedua pada minit ke-87 sebelum dia menyudahkan penalti pada minit keempat masa kecederaan separuh masa kedua.

Disiarkan pada: July 8, 2019 @ 6:01am
d