arena

Victor, Azmi galas tugas jurulatih

Oleh Izzali Ismail

PENOLONG jurulatih Kedah, Victor Andrag dan Azmi Mohamed bakal mengetuai misi penting Kedah yang mahu memburu tiga mata apabila menentang Terengganu FC pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, esok.

Penggantian tugas itu berikutan ketua jurulatih Lang Merah, Aidil Sharin Shahaksedang mengikuti Kursus Kejurulatihan Diploma Profesional AFC 2019-2020 modul kedua yang bermula semalam hingga 19 Julai di Kuala Lumpur.

Sepanjang tempoh itu, Victor dan Azmi turut menggalas cabaran satu lagi perlawanan penting menentang Perak di Stadium Darul Aman pada 13 Julai nanti.

Menurut Aidil, beliau yakin kedua-dua pembantunya itu mampu melakukan tugas mereka dengan baik dan berkesan berdasarkan persefahaman komunikasi yang terjalin sejak awal musim lagi.

“Saya yakin dengan kemampuan mereka untuk membimbing pasukan. Misi Kedah kini adalah memburu tiga mata di Kuala Terengganu selepas gagal berbuat demikian apabila sekadar seri 1-1 dalam perlawanan menentang PKNP FC sebelum ini,” katanya.

Victor dan Azmi pernah melalui pengalaman berdepan pasukan Terengganu FC ketika ketiadaan Aidil yang mengikuti kursus kejurulatihan sama, April lalu dan pada perlawanan berkenaan, Kedah menang 3-0.

Kedah yang kini mengumpul 30 mata Liga Super, mahu memburu tempat kedua liga dan untuk itu, mereka tidak boleh tercicir mata jika berhasrat memintas Pahang yang sudah mengumpul 33 mata.

Disiarkan pada: July 8, 2019 @ 6:10am
d