arena

Tite minta Messi hormatlah sikit...

Oleh AFP

JURULATIH Brazil, Tite memberitahu Lionel Messi supaya lebih menunjukkan rasa hormat susulan dakwaan kapten Argentina itu Copa America sudah “diatur” dan tuan rumah boleh muncul juara.

Brazil memenangi Copa selepas menewaskan Peru 3-1 di Maracana awal pagi tadi namun Tite berasakan pasukannya turut terjejas dengan beberapa keputusan pengadil dan menyatakan komen Messi sebelum ini memperkecilkan pegawai perlawanan.

“Dia perlu tunjuk rasa hormat, dia perlu faham dan akur apabila kalah,” kata Tite, pasukannya mengalahkan Argentina 2-0 pada separuh akhir penuh kontroversi.

“Kami juga terjejas dalam banyak perlawanan, malah pada Piala Dunia, jadi anda perlu berhati-hati.

“Dia banyak memberikan tekanan kerana dia seorang pemain hebat.

“Setiap orang mempunyai masalah sendiri dan anda perlu menghormati antara satu sama lain.”

Messi mengecam badan induk bola sepak Amerika Selatan, CONMEBOL dengan menuduh mereka ‘korupsi’ apabila dia dibuang padang pada aksi penentuan tempat ketiga pagi semalam yang mana Argentina menewaskan Chile 2-1.

Dia turut mendakwa selepas kekalahan Argentina pada separuh akhir bahawa tuan rumah kejohanan itu “banyak berkuasa dalam CONMEBOL akhir-akhir ini.”

Disiarkan pada: July 8, 2019 @ 10:01am
d