arena

Red Giants fokus tiga aksi terakhir

Oleh Asrol Awang

PENGENDALI Selangor, B Sathianathan berpuas hati selepas skuad kendaliannya kekal pada kedudukan ketiga saingan Liga Super ketika ini.

Bekas jurulatih kebangsaan itu berharap anak buahnya tidak mudah berpuas hati dengan keputusan malam tadi ketika saingan berbaki tiga perlawanan.

"Kita masih ada tiga aksi lagi bertemu Perak Rabu ini diikuti PJ City FC (14 Julai) dan PKNS FC (21 Julai).

Pemain perlu ingat berdepan Perak bukanlah tugas mudah dan pemain perlu fokus.

"Jadi, untuk mendapatkan keputusan lebih baik, pemain perlu mengekalkan rentak dan tidak melakukan kesilapan," katanya mengulas kemenangan 2-1 ke atas FELDA United FC di Jengka, malam tadi.

Sathianathan gembira kerana Red Giants mengutip tiga mata di tempat lawan.

“Masih ada beberapa kelemahan perlu diperbaiki jika mahu menamatkan saingan liga di kedudukan terbaik musim ini.

"Secara keseluruhannya, kami menguasai perlawanan tetapi mereka (FELDA United) menunjukkan semangat melawan dan hampir untuk mencuri satu mata.

"Sebaik mendahului 2-0, pemain kita terlalu memberi ruang kepada lawan dan mereka dapat menjaringkan satu gol," katanya.

Dua gol Selangor dijaringkan oleh Sandro Da Silva m-44 dan Ifedayo Olusegun m-51 manakala gol saguhati The Fighters dijaringkan Jocinei Schad m-63.

Disiarkan pada: July 8, 2019 @ 2:58pm
d