arena

Perjuangan Brazil ibarat tentera pertahan tanah air

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

MUFTI Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri antara jutaan peminat bola sepak di Malaysia malah kritis memberi pandangan mengenai sukan nombor satu dalam dan luar negara itu.

Terkini tokoh agamawan ini menyifatkan kejayaan pasukan pujaannya, Brazil merangkul trofi Copa America 2019 kesembilan ibarat semangat tinggi tentera berjuang mempertahankan tanah air. Katanya, banyak perkara menarik dan pengajaran boleh diambil menerusi kemenangan Brazil menewaskan Peru 3-1.

"Kemenangan ini meneruskan rekod cemerlang Brazil mengumpul kejuaraan kesembilan dan setiap kali menjadi tuan rumah kejohanan ini, mereka menjadi juara termasuk terbaru kejohanan pada tahun ini adalah kali kelima.

"Kesungguhan dan semangat tinggi pemain Brazil selaku tuan rumah bagi memastikan kemenangan berpihak kepada mereka persis tentera yang bersemangat berjuang habis-habisan bagi mempertahankan tanah watan daripada dicalari maruahnya.

"Ia berjaya diterjemahkan kepada kombinasi permainan baik antara pemain yang akhirnya berjaya mengkucar-kacirkan benteng lawan dan menghasilkan gol penting dalam perlawanan ini," katanya dalam catatan di Facebook rasminya.

Kemenangan Brazil disumbangkan menerusi jaringan pemain muda, Everton Soares, Gabriel Jesus dan Richarlison de Andrade (penalti) manakala gol Peru dijaringkan Paolo Guerrero juga menerusi penalti.

Dr Zulkifli juga memuji kewibawaan ketua jurulatih Brazil, Tite dan kumpulan kejurulatihannya dalam menyusun strategi untuk mengimbangi taktikal lawan termasuk memasukkan 'fresh-leg' Richarlison serta Eder Militao bagi menggantikan Roberto Firmino dan Philippe Coutinho untuk tujuan bertahan dan merencana serangan.

"Ia ibarat panglima di medan perang berperanan sangat besar dalam memastikan arahan berpusat dan taktikal tepat bagi menghadapi lawan," katanya.

Beliau turut memuji peranan pemain ke-12 iaitu penyokong Brazil yang menyuntik semangat dan aura luar biasa kepada pemain.

Disiarkan pada: July 8, 2019 @ 8:18pm
d