arena

'Beri masa, ruang untuk saya buat terbaik'

Oleh Muhamaad Razis Ismail

"JANGAN ‘takir’ saya," kata Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) Wan Abdul Rahim Wan Abdullah yang baharu dilantik kepada penyokong bola sepak Kelantan.

Wan Abdul Rahim berkata, beliau baharu dua hari dilantik menjawat jawatan itu dan memerlukan masa mengembalikan kegemilangan Kelantan.

"Saya baru dua hari menjawat jawatan ini. Takkan dua hari dah nak ‘takir’.

"Beri masa dan ruang untuk saya buat yang terbaik. Saya bersama yang lain akan gunakan kaedah kepimpinan sebagai satu pasukan. Saya tiada kepimpinan cemerlang seperti Tan Sri Annuar Musa. Ahli Majlis Eksekutif KAFA akan bersama ambil tanggungjawab mencari kaedah berkesan untuk majukan bola sepak Kelantan," katanya dalam sidang media pertama selepas dipilih sebagai Presiden KAFA di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Presiden KAFA Datuk Seri Afandi Hamzah.

Menurutnya, sasaran awal ditetapkan adalah memperoleh empat mata untuk baki tiga perlawanan terakhir Liga Perdana.

"Sasaran ini untuk memastikan kami mampu pertahankan kedudukan di Liga Perdana dan berjuang untuk layak beraksi di Piala Malaysia," katanya.

Diminta mengulas mengenai masalah kewangan KAFA, Wan Abdul Rahim berkata mesyuarat khusus berkenaan perkara itu akan diadakan pada 11 Julai ini.

"Dalam mesyuarat itu kami akan lihat pakej kewangan untuk cari cara terbaik tangani perkara ini dan tubuhkan satu jawatankuasa khas untuk bincang menjemput penaja pasukan musim depan," katanya.

Wan Abdul Rahim berkata, dalam mesyuarat yang diadakan malam tadi, pihaknya meluluskan beberapa perkara termasuk bersetuju menubuhkan satu Majlis Penasihat KAFA terdiri daripada bekas pemimpin persatuan.

"Ahli Majlis Penasihat yang dipengerusikan Datuk Nasir Hamzah bersama gabungan bekas pimpinan utama KAFA akan bantu salurkan pengalaman mereka untuk pembangunan bola sepak Kelantan," katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan teki-teki siapa pengganti Bibi Ramjani Ilias Khan akhirnya terjawab apabila Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Kelantan, Wan Abdul Rahim diumumkan presiden baharu KAFA bagi penggal 2019-2023 pada Kongres Luar Biasa (EGM), kelmarin.

Wan Abdul Rahim memperoleh sebanyak 28 undi sekali gus menewaskan ahli perniagaan, Datuk Seri Amril Aiman Ab Aziz memperoleh 16 undi.

Disiarkan pada: July 8, 2019 @ 8:51pm
d