arena

Nadal ketuai geng 30-an mara suku akhir Wimbledon

Oleh AFP

RAFAEL Nadal mara ke suku akhir Wimbledon kali ketujuh ketika pemain berusia 30-an lain turut mempamerkan penguasaan di All England Club.

Pilihan ketiga Nadal yang juga juara 2008 dan 2010 mudah menewaskan pemain Portugal, Joao Sousa 6-2, 6-2, 6-2 dan akan menentang Sam Querrey atau Tennys Sandgren dalam aksi suku akhir Grand Slam ke-39 bintang Sepanyol itu.

Nadal yang berusia 33 tahun memburu gelaran utama ke-19, hanya satu di belakang rekod 20 gelaran milik Roger Federer, lawan yang mungkin ditemuinya pada separuh akhir.

"Ia perlawanan yang bagus. Memang benar servis saya tidak berapa menjadi seperti dua hari lalu,” kata Nadal yang turut menang mudah ke atas Jo-Wilfried Tsonga pada pusingan ketiga.

Turut menyertai Nadal di peringkat lapan terakhir ialah rakan senegara Roberto Bautista Agut yang kali pertama mara suku akhir Wimbledon dan kali kedua di kejohanan utama tahun ini selepas menewaskan pemain Perancis Benoit Paire 6-3, 7-5, 6-2.

Pemain nombor 22 dunia berusia 31 tahun itu akan menentang sama ada naib juara 2016 Milos Raonic dari Kanada atau pemain Argentina, Guido Pella untuk slot ke separuh akhir.

Bautista Agut yang menewaskan Paire tujuh kali dalam tujuh perlawanan turut mara ke suku akhir Terbuka Australia pada Januari lalu.

Dengan kemaraan Nadal dan Bautista Agut, peringkat suku akhir Wimbledon dipenuhi pemain berusia 30-an.

Sebelum itu, juara lapan kali, Roger Federer, 37, dan juara bertahan Novak Djokovic, 33, turut mara ke saingan lapan terakhir.

Jika Sam Querrey, Fernando Verdasco dan Mikhail Kukushkin menang, bermakna tujuh daripada lapan pemain yang berentap di suku akhir berusia lebih daripada 30 tahun.

Kali pertama dalam sejarah era moden, pertembungan saingan 16 terakhir turut menampilkan ramai pemain berusia 30-an.

Disiarkan pada: July 9, 2019 @ 12:18am
d