arena

Tunisia akhiri dominasi Ghana

Oleh AFP

TUNISIA mengalahkan Ghana 5-4 menerusi penentuan penalti awal pagi tadi dengan Ferjani Sassi meledak gol kemenangan bagi menamatkan tempoh 54 tahun kekalahan di tangan Black Stars pada Piala Negara Afrika.

Selepas seri 1-1 susulan masa tambahan di Ismailia, Tunisia menjaringkan semua lima sepakan penalti manakala pemain gantian Ghana, Caleb Ekusan menyaksikan percubaannya diselamatkan penjaga gol gantian Farouk Ben Mustapha, yang tampil dari bangku simpanan khusus untuk penentuan penalti itu.

Kemenangan itu amat manis buat Tunisia ketika mereka kalah enam kali kepada Ghana pada pertandingan benua Afrika itu sejak 1965 selepas seri aksi sulung antara kedua negara dua tahun terdahulu.

Awal pagi Jumaat ini, Carthage Eagles akan bertemu Madagascar pada suku akhir di Kaherah dengan pemenang menentang sama ada Senegal atau Benin bagi tempat ke final pada 19 Julai.

Kalah menerusi penentuan penalti menamatkan kejayaan Ghana mara ke separuh akhir Piala Negara Afrika enam kali berturut-turut dan menggugat masa depan jurulatih Kwesi Appiah.

Kemasukan Wahbi Khazri pada pertengahan babak kedua mencetus impak buat Tunisia apabila dia memerlukan lima minit untuk menyinar dengan kuisan tumitnya mencipta peluang buat Wajdi Kechrida untuk melakukan hantaran silang yang disudahkan Taha Yassine Khenissi pada minit ke-73.

Pada minit pertama masa kecederaan, Black Stars bagaimanapaun menyamakan kedudukan apabila pertahanan Tunisia, Rami Bedoui tertanduk bola ke dalam gol sendiri melepasi jangkauan penjaga golnya Mouez Hassen.

Disiarkan pada: July 9, 2019 @ 8:10am
d