arena

Uji pengadil 'import'

Oleh Firdaus Hashim dan Syazwan Msar

KUALA LUMPUR: Kelibat pengadil Arab Saudi, Majed Mohammed Al Shamrani mengadili perlawanan Liga Super di antara FELDA United menentang Selangor malam kelmarin hanyalah sebagai ujian dan latihan sebelum dinilai Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Md Dali Wahid berkata, segala kos penginapan dan perbelanjaan pengadil terbabit turut ditanggung Arab Saudi, sekali gus menolak dakwaan bahawa badan induk bola sepak itu menanggung segalanya.

Beliau berkata, pihaknya hanya menyediakan kemudahan termasuk perlawanan yang bakal diadili pengadil terbabit sebagai ujian untuk dinilai pegawai pengadil dari Hong Kong.

“Pengadil terbabit bukanlah yang akan mengadili perlawanan akhir Piala FA nanti cuma kehadirannya untuk dinilai sebelum diberikan lesen sebagai pengadil FIFA.

“Arab Saudi sebelum ini ada menghantar surat bagi memohon untuk menempatkan pengadil berkenaan dan kita tiada masalah untuk membenarkannya dan kebetulan malam tadi (kelmarin) ada perlawanan dan dia berkesempatan untuk mengadilinya,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Sementara itu, Persatuan Bolasepak Johor Bahru (JBFA) kemungkinan diisytiharkan sebagai pasukan yang kalah dengan jumlah gol sebanyak 0-3 sekiranya mereka didapati bersalah menjadi punca berlakunya kekecohan ketika aksi Liga M3 menentang Kelantan United di Stadium Mini Kulai, Sabtu lalu.

Pada aksi yang berkesudahan seri 3-3 itu, pemain JBFA didakwa menyerang pengadil gara-gara tidak berpuas hati selepas pelawat diberikan sepakan penalti yang menyaksikan pergaduhan berlaku dan insiden kejar mengejar hingga ke luar padang.

Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) semalam, selain tindakan tatatertib ke atas sebarang kesalahan disiplin diambil oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), MFL sebagai penganjur liga turut mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan di bawah peruntukan sedia ada.

“Berdasarkan peraturan Liga M3 Artikel 5 (c) (viii), mana-mana pemain atau pegawai yang dilaporkan berkelakuan tidak berdisplin atau bertindak ganas di sekitar tempat permainan dan juga terhadap pengadil atau pegawai perlawanan, mereka akan dihadapkan ke Unit Perundangan MFL mengikut peraturan yang ditetapkan MFL.

“Berdasarkan peraturan Liga M3 dan menurut hasil siasatan MFL, jika didapati bersalah, pasukan bersalah boleh diisytiharkan sebagai pasukan yang kalah dengan jumlah gol sebanyak 0-3; dan/atau pemotongan tiga mata ke atas pasukan bersalah; atau pemain, pegawai atau pasukan terbabit boleh disingkirkan dari Liga M3.” katanya.

Dalam perlawanan minggu ke-11 Liga M3 itu menyaksikan pengadil perlawanan, Hasman Hisham Asngari dan pembantu pengadil didakwa diserang pemain dan pegawai JBFA sebaik tamat perlawanan.

Disiarkan pada: July 9, 2019 @ 9:00am
d