arena

Misi hidup mati The Fighters

Oleh Asrol Awang

KAPTEN FELDA United FC, Hadin Azman mengakui pertemuan dengan Kuala Lumpur di Stadium KLFA Cheras, malam esok, ibarat misi penentu hidup mati The Fighters. 

Pemain tengah The Fighters itu berkata, berbaki empat perlawanan termasuk pertemuan dengan The Hawks, kelab itu tiada pilihan lain kecuali mengutip mata penuh jika mahu kekal dalam saingan Liga Super musim depan. 

"Kami tidak boleh lagi keciciran mata dan selepas tewas kepada Selangor 1-2 Ahad lalu.

Memang tekanan semakin kuat untuk semua pemain bekerja keras bagi mengutip mata dalam baki perlawanan yang masih ada. 

"Mahu atau tidak, kami perlu menang ke atas Kuala Lumpur dan perlawanan malam esok adalah misi hidup mati kami (FELDA United) untuk keluar dari zon penyingkiran " katanya. 

Selepas berdepan Kuala Lumpur, skuad kendalian Mohd Nidzam Jamil akan bertemu PKNP pada 13 Julai, diikiti Pahang (17 Julai) dan Kedah (21 Julai). 

Hadin sudah menjaringkan lima gol dalam saingan Liga Super berkata, jaringan awal adalah sasaran utama kelab itu bagi memberi tekanan kepada tuan rumah. 

Pemain kelahiran Kuala Lumpur itu akan memastikan rakan sepasukan mempamerkan kebangkitan dan seterusnya mencatatkan kemenangan. 

"Kelebihan dimiliki Kuala Lumpur yang beraksi di laman sendiri bukanlah penghalang untuk kami mengutip tiga mata," katanya

Disiarkan pada: July 9, 2019 @ 2:08pm
d