arena

Shukur idam gol pertama musim ini

Oleh Malik Muhamad

SELEPAS membantu skuad 'abang’ Terengganu FC (TFC) menewaskan PKNS FC, arkitek Terengganu FC II (TFC II), Shukur Jusoh kembali memperkuatkan skuad itu berdepan Sarawak di Stadium Negeri, Kuching malam esok.

Bekas pemain kebangsaan yang menyarung jersi skuad TFC musim ini bertemu skuad Semut Merah, minggu lalu akan membarisi TFC II selepas pemain tengah Ivory Coast, Dechi Marcel mengalami kecederaan.

“Selepas kali pertama beraksi dengan skuad TFC musim ini, khidmat saya diperlukan pasukan TFC II untuk mengemudi jentera tengah selepas Marcel cedera ketika bertemu Pulau Pinang, Sabtu lalu.

“Misi peribadi saya pada perlawanan itu adalah membantu pasukan menebus kembali kehampaan selepas tumpas 1-2 di laman sendiri, April lalu hasil jaringan Hudson Diaz biarpun kita mendahului hasil jaringan Akanny Sunday Wasiu.

“Selain itu misi, saya adalah untuk meledak gol pertama musim ini selepas 18 perlawanan termasuk bersama pasukan TFC tanpa sebarang jaringan,” kata Shukur yang pernah menyarung jersi ATM, Selangor, FELDA United dan Harimau Muda A.

Dalam kedudukan terkini, skuad bimbingan Tengku Hazman Raja Hassan itu berada di tangga keempat Liga Perdana mengumpul 27 mata di belakang UiTM (28 mata), Johor Darul Ta’zim II (JDT II) kedua dengan 33 mata dan pendahulu Sabah dengan 37 mata.

Disiarkan pada: July 9, 2019 @ 3:28pm
d