arena

Gadis ayu berhijab lasak bergusti [VIDEO]

Oleh Syazwan Msar

WALAUPUN nampak kasar dan tidak sesuai dengan watak seorang muslimah namun bagi juara pertandingan Pro Wrestling-The Wrestleconi dikenali sebagai Nordiana mengetahui batas dan had supaya tidak dilihat melampau atau keterlaluan.

Nordiana atau nama sebenar Syaradeeba Khamarulzaman berkata, videonya yang tular baru-baru ini, menyatakan kejayaannya menjuarai pertandingan terbabit di Kuala Lumpur adalah sebagai batu loncatan untuknya terus mencipta kejayaan pada masa akan datang dalam sukan gusti profesional.

Katanya, dia bersama adiknya meminati sukan gusti sejak berusia 14 tahun dan biasa menonton video gusti luar negara sebelum mengambil keputusan berkecimpung secara serius.

“Saya tahu apa yang perlu dilakukan dan mengetahui batas sebagai seorang muslimah supaya tidak kelihatan melampau atau melakukan perkara memalukan diri.

“Melihat aksi saya itu, sememangnya ganas dan sesuai untuk lelaki namun sudah minat sekali gus menolak segala pandangan negatif berkaitan sukan terbabit,” kata atlet berusia 19 tahun itu ketika dihubungi Arena Metro, hari ini.

Anak keempat daripada lima beradik itu mengejutkan banyak pihak sebelum videonya bergusti tular selepas dinobatkan sebagai wanita berhijab bergelar juara dalam pertandingan gusti itu.

Kemenangan Nordiana itu disifatkan sebagai yang pertama seumpamanya dan berkemungkinan kemenangan bertaraf dunia pertama selepas berjaya mengalahkan beberapa ahli gusti lelaki terbesar di negara ini.

Video itu juga dikongsikan seorang pengguna Twitter yang dikenali sebagai Nimelesh dengan ciapan tanda pagar #WomensRevolution.

Nordiana turut mengucapkan penghargaan kepada jurulatihnya yang dikenali sebagai Ayez Shaukat Fonseka kerana mempercayai kebolehannya.

Sementara itu, dia merancang untuk menjadikan sukan berkenaan lebih diterima oleh masyarakat di negara ini seterusnya membuang tanggapan bahawa ia merbahaya atau tidak bersesuaian.

Disiarkan pada: July 9, 2019 @ 6:03pm
d