arena

Tiket final cukup, tak perlu tidur stadium

Oleh Izzali Ismail

PERSATUAN Bolasepak Kedah (KFA) yakin jumlah 20,000 tiket perlawanan akhir Piala FA 2019 yang akan dijual di kaunter Stadium Darul Aman, Alor Setar pada 23 Julai ini mencukupi.

Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Asmirul Anuar Aris menegaskan agar peminat Lang Merah tidak perlu risau untuk mendapatkan tiket kerana jumlah ini lebih tinggi berbanding tidak sampai 10,000 jumlah tiket yang dijual pada final musim sebelum ini.

Segala urusan dipantau oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Saya yakin jumlah 20,000 adalah mencukupi, sebab penjualan tiket dikaunter sebelum ini tak lebih pada 10,000 jadi jumlah ini lebih tinggi.

"Jadi, saya harap penyokong tak perlu risau hingga mungkin ada yang mahu tidur di Stadium.

Walaupun begitu, kita tidak boleh halang jika mereka tetap mahu menunggu sehingga tidur berdekatan jalan tapi bagi saya, kalau boleh datanglah pada waktu awal pagi dan tak perlu tidur di stadium.

"Menyentuh mengenai isu kuota khas yang diumumkan KFA iaitu sebanyak 10,000 yang persoalkan oleh penyokong, Asmirul menegaskan kuota khas tiket sudah dibincangkan dalam mesyuarat, semalam.

"Sebenarnya kuota khas ini juga adalah kepada pegawai-pegawai kerajaan, pengurusan pasukan-pasukan seperti skuad Piala Presiden, skuad Piala Belia, skuad Wanita termasuk futsal, atlet-atlet dan lain-lain.

"Jumlah itu temasuk ahli-ahli kelab gabungan sebanyak 37 Persatuan Bolasepak iaitu gabungan dibawah naungan KFA termasuk juga media dan paling banyak adalah penaja-penaja utama pasukan Kedah.

"Jadi tiada isu sebenarnya mengenai persoalan jumlah peruntukan 10,000 tiket khas ini.

Saya ingin tegaskan bahawa semua tiket itu bukan diberi percuma malah perlu dibayar dan saya sendiripun jika mahu tiket terpaksa beli.

Apapun, semua itu dilakukan selepas menyelesaikan jualan kepada penyokong bolasepak Kedah.

"Jadi janganlah risau kerana pihak SPRM sentiasa memantau keadaan jualan dan sentiasa bersama-sama kami dalam melaksanakan tugas dengan penuh integriti.

“KFA turut merancang mengasingkan kaunter bagi kumpulan penyokong yang mendapatkan tiket melalui individu dan juga kumpulan yang membuat tempahan melalui bas bagi mengelak kesesakan di kaunter tiket nanti.

"Saya selaku Setiausaha Kehormat sendiri sudah meminta pihak Pengerusi Jawatankuasa Tiket untuk membuka sebanyak mungkin tambahan kaunter bagi mengelak keadaan penyokong yang dijangka akan bersesak-sesak," katanya.

KFA mengumumkan agihan peruntukan tiket final Piala FA 2019 dari pihak Malaysian Football League (MFL) sebanyak 30,000 keping tiket dengan 20,000 keping tiket akan dijual di kaunter Stadium Darul Aman manakala 10,000 keping tiket lagi peruntukan khas.

Disiarkan pada: July 9, 2019 @ 6:37pm
d