arena

Lapan bintang seni bela diri ONE semakin 'panas'

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

SERAMAI lapan bintang seni bela diri campuran ONE Championship (ONE) melakukan sesi latihan terbuka hari ini menjelang pertarungan sebenar 'ONE: Masters Of Destiny' di Arena Axiata, Bukit Jalil, Jumaat ini.

ONE dalam satu kenyataan memaklumkan sesi latihan terbuka diadakan di The Grounds KL, MAHSA Avenue dengan menampilkan Giorgio Petrosyan, Petchmorakot Petchyindee Academy, Ev Ting, Daichi Abe, Saiful Merican, Mohammad Mahmoud, Jihin Radzuan dan Jomary Torres. "Mereka turun padang untuk mempamerkan skil sambil disaksikan peminat di samping mengadakan pertembungan 'empat mata' dengan lawan masing-masing," katanya.

Pada acara utama, jaguh petarung dari Itali, Giorgio Petrosyan atau nama julukan 'The Doctor' akan membuat perhitungan dengan Petchmorakot Petchyindee Academy dari Thailand dalam suku akhir Grand Prix Dunia ONE Super Series Featherweight Kickboxing.

"Petrosyan yang juga juara dunia 'kickboxing' seorang petarung dominan dan terhebat sepanjang masa dengan jumlah pencapaian sangat membanggakan sepanjang kariernya. "Antara kejayaan diraih termasuk dua Kejuaraan Dunia K-1 World MAX, Kejuaraan Perlawanan Glory Slam dan beberapa lagi anugerah berprestij lain.

"Dia menyertai ONE Super Series pada 2018 dan sejak itu mempamerkan aksi memberangsangkan dalam setiap perlawanan serta tiada masalah muncul juara kali ini," katanya.

Sementara itu, lawannya, Petchmorakot yang berasal dari Ubon Ratchathani di utara Isan, Thailand, bukan calang-calang petarung kerana berjaya mengalahkan ramai nama besar dalam Muay Thai dan meraih pelbagai kejuaraan dalam sukan itu.

Petchmorakot pernah merangkul Kejuaraan Dunia Stadium Lumpinee dalam dua divisyen, selain gelaran WMC Muay Thai, sepanjang perjalanan kariernya yang membabitkan hampir 200 perlawanan profesional.

"Kini sasarannya untuk meraih kejayaan antarabangsa di pentas global ONE Championship," katanya. Maklumat lanjut untuk tiket ONE: Masters Of Destiny boleh didapati di www.onefc.com.

Disiarkan pada: July 9, 2019 @ 8:35pm
d