arena

PSM ada kes kukuh gugur Syahir, Zulkifli

Oleh Azlan Muhammad Zain

MAJLIS Sukan Negara (MSN) berpandangan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) mempunyai kes kukuh apabila bertindak tegas menggugurkan dua tekong terbaik negara.

Pengarah Bahagian Atlet MSN, Jefri Ngadirin menjelaskan ia berdasarkan laporan dikemukakan PSM pada mesyuarat penilaian atlet berlangsung semalam.

"PSM mempunyai kes kukuh namun pada masa sama kami meminta mereka mengemukakan laporan bertulis untuk dipanjangkan pada mesyuarat bersama Menteri Belia dan Sukan pada awal bulan depan.

"Kita turut bertanyakan secara terperinci tindakan PSM mengambil keputusan itu (gugur dari skuad negara). Malah pada mesyuarat semalam, pandangan rakan atlet turut diambil kira dan saya fikir pandangan terbabit boleh dimasukkan dalam laporan," katanya.

PSM penghujung bulan lalu membuat kejutan apabila menggugurkan tekong nombor satu dan dua negara iaitu Mohd Syahir Rosdi dan Muhammad Zulkifli Abd Razak dengan alasan masalah disiplin.

"PSM menjelaskan mereka yakin dapat mempertahankan emas di Sukan SEA Filipina seperti disasarkan. Bagi MSN, PSM tetap perlu memenuhinya walaupun tanpa kehadiran dua tekong berkenaan," tambah Jefri.

Ditanya peluang Syahir dan Zulkifli untuk kembali bersama skuad negara, beliau menjelaskan mungkin tiada masalah sekiranya PSM tidak menggantung mereka selain mempamerkan prestasi baik dalam kejohanan tempatan.

Disiarkan pada: July 9, 2019 @ 10:01pm
d