arena

Skuad hoki dalam dewan wajib menang dua emas

Oleh Saiful Affendy Sapran

DUA pingat emas disasarkan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) untuk skuad hoki dalam dewan negara pada temasya Sukan SEA Filipina bermula 30 November depan.

Sasaran itu dilihat sebagai misi wajib selepas menyaksikan Malaysia kehilangan dua emas berbanding Sukan SEA Kuala Lumpur dua tahun lalu apabila Filipina tidak mempertandingkan acara hoki padang lelaki dan wanita.

Timbalan Presiden Kanan MHC, Datuk Dr S Shamala berkata, sasaran itu juga bagi menebus kegagalan di Kuala Lumpur yang menyaksikan skuad wanita sekadar meraih gangsa berbanding emas untuk pasukan lelaki.

"Saya fikir memang tiada sasaran paling realistik selain memenangi emas acara lelaki dan wanita. Setakat ini segala persiapan berjalan baik dan pasukan juga ada menyertai beberapa kejohanan sebelum bermulanya saingan di Filipina," katanya.

Shamala tetap yakin kemampuan kedua-dua skuad negara itu meskipun pasukan hanya dibentuk untuk menghadapi Sukan SEA.

"Bukan tidak mahu membentuk pasukan tetap tetapi perkembangan hoki dalam dewan agak terhad. Tidak banyak kejohanan yang boleh disertai terutama di Asia," katanya.

Skuad lelaki dan wanita negara dilihat serius untuk menghadapi Sukan SEA apabila dibimbing jurulatih berkaliber.

Bekas pemain kebangsaan, Megat Azrafiq Termizi membimbing pasukan lelaki dengan rekod cemerlang membantu skuad bawah 18 tahun negara mencipta sejarah memenangi pingat emas pada Sukan Olimpik Remaja di Buenos Aires, Argentina tahun lalu.

Manakala skuad wanita pula dilatih pengendali berpengalaman, Yahya Atan yang pernah membimbing skuad hoki padang wanita.

Disiarkan pada: July 9, 2019 @ 10:38pm
d